AirAsia perkukuh kerjasama dengan Sarawak di Lan Berambeh Anak Sarawak 2025

KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2025 – AirAsia memperkukuhkan komitmen berterusan terhadap Sarawak sebagai rakan penerbangan rasmi dan rakan e-hailing yang rasmi bagi acara Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 yang akan berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Lebih daripada sekadar perhimpunan tahunan, Lan Berambeh telah menjadi tradisi bermakna yang menyatukan rakyat Sarawak yang menetap, bekerja dan menuntut di Semenanjung Malaysia. Dianjurkan oleh Sarawak Volunteers dengan sokongan Kerajaan Sarawak serta Timbalan Perdana Menteri YAB Dato Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, edisi tahun ini dijangka menarik ribuan pengunjung.

Bagi memudahkan perjalanan, AirAsia akan menawarkan promosi eksklusif bagi tambang penerbangan dan bagasi kepada tetamu yang membuat tempahan semasa acara tersebut, termasuk diskaun 20 peratus bagi penerbangan* dan 50 peratus bagi bagasi berdaftar**. Pelajar dari Sarawak juga boleh memanfaatkan sokongan di tapak acara untuk menyemak dan menebus subsidi perjalanan FLYsiswa, sekaligus memudahkan mereka pulang ke kampung halaman semasa cuti atau menghadiri acara keluarga.

Perjalanan ke MITEC juga akan menjadi lebih mudah dengan tambang istimewa yang ditawarkan melalui AirAsia Ride. Para pengunjung yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 atau Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) boleh menikmati diskaun promosi dengan menggunakan kod ‘LBAS2KLIA’ bagi tempahan awal, manakala pengunjung dari kawasan lain di Lembah Klang boleh menggunakan kod ‘RIDELBA3’ untuk penjimatan tambahan semasa perjalanan ke/dari MITEC. Sementara itu, Tune Protect juga akan turut serta dalam acara ini dengan pameran interaktif dan penyelesaian perlindungan perjalanan untuk para tetamu.

Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Lan Berambeh Anak Sarawak mempunyai makna istimewa bagi kami kerana ia menyatukan kita semua dalam meraikan identiti, hubungan dan komuniti. Sarawak sentiasa menjadi sebahagian penting dalam rangkaian domestik kami dan Kuching kekal sebagai salah satu hab terbesar AirAsia di Malaysia. Kebanyakkan kakitangan Allstars kami berasal dari Sarawak dan kami berbesar hati untuk terus menyokong negeri ini melalui sambungan penerbangan yang mampu milik dan mudah diakses.”

“Selama lebih dua dekad, AirAsia telah membantu menyatukan keluarga, pelajar dan komuniti. Kerjasama kami dengan Sarawak amat kami hargai dan kami komited untuk terus mengukuhkannya lagi pada masa akan datang.”

LBAS merupakan acara kebudayaan dan kemasyarakatan yang berprestij bagi rakyat Sarawak yang menetap di luar negeri yang memberi tumpuan kepada mereka di Semenanjung Malaysia sebelum berkembang untuk melibatkan komuniti antarabangsa. Lebih daripada sekadar perhimpunan tahunan, acara ini berfungsi sebagai platform penting untuk rakyat Sarawak mengeratkan hubungan dengan warisan mereka, memupuk perpaduan, meraikan budaya serta berinteraksi dengan pemimpin negeri, rakan industri dan sesama anak Sarawak melalui sesi dialog, pameran serta persembahan kebudayaan.

*Terpakai untuk semua penerbangan yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (AK) sahaja dan tempahan yang dibuat pada 25 Oktober 2025, bagi tempoh perjalanan antara 25 Oktober 2025 hingga 28 April 2026. Hanya sah untuk pembelian semasa tempahan penerbangan awal melalui AirAsia MOVE, tertakluk kepada ketersediaan. Tertakluk kepada terma & syarat terpakai.

**Sah hanya untuk pembelian bersama tempahan penerbangan semasa acara, tertakluk kepada ketersediaan. Tertakluk kepada terma & syarat terpakai.