Capital A memasuki fasa terakhir proses penyusunan semula, bersiap sedia untuk memulakan perjalanan baharu
Gambar kumpulan Lembaga Pengarah daripada semua entiti Capital A, AirAsia X dan AirAsia Aviation Group Limited.
Dari kiri: Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly, Dato’ Abdul Mutalib Alias, Tan Sri Tony Fernandes, Brigadier General (R) Dato' Fadzillah Abdullah, Datuk Fam Lee Ee, Datuk Kamarudin Meranun, Dato' Abdel Aziz @ Abdul Aziz bin Abu Bakar, Dato' Mohamed Khadar Merican, Senator Datuk Dr Ras Adiba Radzi and Ms Chin Min Ming.
Semua keperluan utama bagi pelupusan syarikat penerbangan telah dipenuhi, dan perjanjian kini berkuat kuasa sepenuhnya tanpa sebarang syarat tertangguh.
Penyelesaian dijangka dimuktamadkan pada bulan Disember, selepas itu Capital A merancang untuk memohon penarikan status PN17 menjelang akhir tahun, sekali gus menutup bab terakhir proses ini hampir enam tahun selepas bermulanya pandemik Covid-19.
Pasca penyelesaian, dua entiti teras akan muncul: kumpulan syarikat penerbangan AirAsia yang disatukan, serta kumpulan pelancongan dan digital pelbagai platform di bawah Capital A
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Capital A Berhad (“Capital A”) hari ini mengumumkan bahawa semua syarat utama bagi pelupusan perniagaan syarikat penerbangannya telah dipenuhi sepenuhnya, sekali gus menjadikan perjanjian jual beli dengan AirAsia X Berhad (“AirAsia X”) berkuat kuasa tanpa sebarang syarat tertangguh.
Perkembangan ini menandakan bab terakhir dalam usaha penyatuan semua perniagaan syarikat penerbangan AirAsia di bawah satu kumpulan penerbangan tunggal, serta permulaan perjalanan baharu bagi Capital A sebagai kumpulan pelancongan dan digital pelbagai platform.
Pencapaian ini menandakan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan tertunggak; kesemua surat persetujuan daripada pihak berkepentingan serta surat komitmen penempatan khas bernilai RM1 bilion bagi AirAsia X telah berjaya diperoleh. Selain itu, pada 17 Oktober lalu, pengecualian peraturan yang diperlukan daripada pihak berkuasa Thailand juga telah diselesaikan.
Dengan perjanjian kini berkuat kuasa sepenuhnya tanpa sebarang syarat tertangguh, kedua-dua pihak akan meneruskan langkah-langkah seterusnya, termasuk pengurangan dan pengagihan modal Capital A, peruntukan serta penyenaraian saham AirAsia X, dan keperluan prosedur lain yang berkaitan. Semua proses ini dijangka akan dimuktamadkan menjelang Disember, diikuti dengan permohonan penarikan status PN17 pada bulan yang sama.
Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata, “Hari ini merupakan detik yang amat bermakna bagi saya kerana akhirnya kita dapat mengumumkan bahawa semua syarat utama telah dipenuhi dan perjanjian kini berkuat kuasa sepenuhnya. Sepanjang tahun lalu, kami telah berusaha gigih untuk mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan dan mengatasi pelbagai halangan bagi memastikan urusniaga ini dapat direalisasikan.
Kami kini berada di fasa terakhir bagi perjalanan yang terasa seolah-olah tiada penghujungnya, akan tetapi kami terus lebih kuat membentuk kumpulan syarikat penerbangan yang lebih kukuh serta sebuah kumpulan baharu yang terdiri daripada lima syarikat utama di bawah Capital A.
Kami akan memulakan perjalanan seterusnya dengan dua entiti yang berbeza. Kumpulan syarikat penerbangan, yang akan dikenali sebagai AirAsia Group, akan menyatukan kesemua tujuh syarikat penerbangan AirAsia jarak sederhana dan jarak dekat di bawah satu platform untuk beroperasi sebagai satu rangkaian di seluruh rantau ini. Sementara itu, Capital A akan menumpukan usaha kepada pengembangan lima syarikat pelancongan dan digitalnya yang berpotensi tinggi serta berdaya pertumbuhan pesat.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Allstars yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa bersama kami sepanjang perjalanan ini. Kejayaan ini membuktikan bahawa ketabahan dan disiplin akhirnya akan membawa hasil yang positif.
Apabila proses penyatuan syarikat penerbangan selesai, AirAsia Group akan beroperasi sebagai satu entiti dengan strategi yang berteraskan kepada pelbagai megahab utama di seluruh rantau ini, dan tidak lagi bergantung kepada satu pasaran utama sahaja. Visi kumpulan ini adalah untuk menjadi syarikat penerbangan rangkaian kos rendah pertama di dunia yang menggunakan pesawat badan sempit (narrowbody). Pendekatan ini akan meningkatkan kesalinghubungan bagi para tetamu, mengoptimumkan penggunaan pesawat, mengurangkan kos seunit, serta membuka ruang kepada pertumbuhan baharu dengan tumpuan kepada pesawat badan sempit seperti Airbus A321neo dan A321XLR yang mempunyai jarak penerbangan lebih jauh.
Lima syarikat lain di bawah Capital A melambangkan bab seterusnya dalam evolusi kumpulan ini melangkaui industri penerbangan. ADE (kejuruteraan), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform pelancongan), Santan (perniagaan makanan dan minuman), serta perniagaan pelesenan jenama dan harta intelek, Abc., yang akan dinamakan sebagai AirAsia NEXT — mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju pasaran dalam industri masing-masing. Bersama-sama, syarikat-syarikat ini berpotensi untuk mentakrif semula landskap perniagaan ASEAN, sepertimana AirAsia telah merevolusikan perjalanan udara di rantau ini.
Perniagaan-perniagaan ini memanfaatkan ekosistem luas Capital A yang berasaskan data, teknologi dan penglibatan pelanggan bagi membuka nilai merentas platform. Dengan kepimpinan yang kukuh, keupayaan pelaksanaan yang terbukti serta budaya inovasi yang berterusan, Capital A berhasrat untuk terus mengembangkan lima syarikat ini, memacu pertumbuhan mampan serta mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang sahamnya.
Pengumuman pada hari ini mengesahkan bahawa proses penyusunan semula Capital A telah memasuki fasa terakhir, menandakan langkah persiapan kumpulan tersebut untuk memulakan perjalanan baharu selepas penarikan status PN17.