AirAsia MOVE Perkenal Easy Cancel untuk Perjalanan yang Lebih Fleksibel
KUALA LUMPUR, 29 April 2025 – Merancang perjalanan kini menjadi lebih mudah dengan pengenalan Easy Cancel oleh AirAsia MOVE, ciri tambahan baharu yang membolehkan pengguna membatalkan penerbangan AirAsia mereka dalam masa 48 jam sebelum berlepas dan menerima pemulangan wang dalam tempoh sepuluh hari.
Ditawarkan secara eksklusif di aplikasi AirAsia MOVE, Fungsi Easy Cancel memberikan jaminan kepada pengembara untuk membuat tempahan, dengan kebebasan untuk membatalkan tempahan penerbangan tanpa perlu menjelaskan sebab. Sama ada disebabkan perubahan jadual secara tiba-tiba atau sekadar berubah fikiran, ciri baharu ini memberikan fleksibiliti yang lebih tinggi, menjadikan perancangan perjalanan lebih mudah dan selari dengan keperluan pelanggan.
Dengan Easy Cancel, para pengembara boleh memilih antara pilihan pemulangan wang sebanyak 80% atau 100%, termasuk untuk pembelian tambahan seperti bagasi, makanan, dan caj lain. Easy Cancel mesti dibeli semasa proses tempahan dan tidak boleh ditambah kemudian melalui bahagian Manage Booking.
Untuk menambah pilihan Easy Cancel ke dalam tempahan, selepas memilih penerbangan dan mengisi butiran penumpang, tetamu hanya perlu klik ‘Continue to Add-Ons’, teruskan dengan klik ‘Continue’ sekali lagi, dan pilih pilihan Easy Cancel yang tersedia.
Ciri tambahan baharu ini tersedia untuk semua laluan AirAsia, kecuali penerbangan ke Korea Selatan dan laluan domestik Indonesia. Bagi penerbangan AirAsia X (D7) seperti dari Kuala Lumpur ke Almaty dan Sydney, Easy Cancel akan tersedia menjelang akhir bulan Mei.
Untuk maklumat lanjut mengenai Easy Cancel, sila layari pautan ini.
- Tamat -