AirAsia Travel Fair 2025 tawar nilai hebat kepada pengembara

Pelbagai destinasi antarabangsa dan domestik menarik untuk dilawati menjelang  Tahun Melawat Malaysia 2026

  • Terbang ke Kota Kinabalu, Kuching, Nha Trang, Thiruvananthapuram, Taipei, Chengdu serta destinasi baharu AirAsia seperti Tashkent, Istanbul dan banyak lagi dengan diskaun hingga 35 peratus*

  •  Lebih 1,000 pakej pelancongan ditawarkan dengan nilai hebat, serta baucar tunai sejumlah RM100 untuk 100 pelanggan terawal setiap hari

  • 700 tiket penerbangan percuma* untuk dimenangi

  • Saksikan persembahan menarik oleh MYFM DJ Jie Ying Tha, Fuying & Sam, Ella Aminuddin dan ramai lagi

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2025 – AirAsia hari ini melancarkan AirAsia Travel Fair 2025, sebuah acara pelancongan inovatif yang menghimpunkan para pengembara, ejen pelancongan, lembaga pelancongan dan rakan industri buat julung kalinya di bawah satu bumbung. Meneruskan kesinambungan daripada edisi-edisi terdahulu yang diadakan di bandar-bandar utama di Malaysia, penganjuran kali ini mengetengahkan kedudukan Kuala Lumpur yang semakin kukuh sebagai hab perjalanan utama. Ia juga menawarkan rangkaian sambungan luas ke destinasi antarabangsa dan domestik, di samping menyokong sektor pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Acara ini bukan sahaja mempromosikan rangkaian AirAsia, malah turut menawarkan pakej menarik daripada ejen pelancongan. Dengan menyatukan ekosistem pelancongan yang lebih luas, para pengembara dapat menikmati lebih banyak pilihan di samping memperkukuh peranan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama bagi pelancongan ke luar negara serta pemangkin kepada pelancongan dalam negara.

YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia berkata: “Bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, sasaran kami adalah untuk mencapai lebih 47 juta ketibaan pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM329 bilion. Rangkaian luas AirAsia di Kuala Lumpur amat penting dalam merealisasikan sasaran ini di mana ianya bukan sahaja menjadi pintu keluar bagi rakyat Malaysia malah turut berperanan sebagai pintu masuk global yang menarik kedatangan pelancong ke negara ini. AirAsia Travel Fair merupakan sebuah acara terbaik untuk memperkenalkan keunikan destinasi domestik dan antarabangsa.”

Amanda Woo, Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia berkata: “Acara ini diadakan pada masa yang tepat selaras dengan usaha kami memperluas ekosistem bersama rakan industri, daripada lembaga pelancongan sehingga ejen pelancongan dalam usaha menawarkan lebih banyak pilihan bernilai tambah kepada para tetamu. Tahun ini sahaja, kami telah menyambung semula lima laluan dan melancarkan 25 laluan baharu, selaras dengan komitmen untuk membuka lebih banyak peluang perjalanan kepada semua. Sebagai syarikat penerbangan dengan rangkaian domestik terbesar di Malaysia dan bahagian pasaran utama sebanyak 60 peratus, AirAsia berada pada kedudukan unik untuk menawarkan harga berpatutan serta fleksibiliti kepada para penumpang. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) kini berfungsi sebagai hab mega, menghubungkan bandar-bandar utama di seluruh Asean dan seterusnya, sekaligus meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik sebagai pintu masuk utama pelancong serantau dan antarabangsa. Acara ini juga menandakan permulaan era baharu perjalanan berasaskan nilai yang dipacu oleh AirAsia dan kami akan terus menawarkan yang terbaik di masa hadapan”. 
AirAsia telah menyumbang kepada lebih 96 peratus daripada jumlah trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2). Pada tahun 2024, lebih 25.8 juta tetamu telah terbang bersama AirAsia ke dan dari Kuala Lumpur yang telah menghubungkan ke lebih 130 destinasi merentasi Asia, Australia, Asia Tengah, Timur Tengah dan seterusnya. Laluan baharu seperti Kuala Lumpur–Tashkent, Istanbul, Palembang, Semarang, Banjarmasin dan Darwin turut memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan utama.

AirAsia Travel Fair berlangsung dari jam 10 pagi hingga 9 malam untuk tiga hari di Aras 5, Pavilion Bukit Jalil Centre Court, Kuala Lumpur, bermula 22 hingga 24 Ogos 2025. Pengunjung berpeluang menikmati diskaun sehingga 35 peratus* untuk penerbangan AirAsia ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih, lebih 1,000 pakej eksklusif daripada ejen pelancongan dan rakan industri, baucar tunai RM100 untuk 100 pelanggan pertama setiap hari, serta pelbagai hadiah menarik dan cabutan bertuah.

*Tertakluk terma dan syarat.