MOVE Sokong Pelancongan Serantau Menerusi Kempen SNAP! ‘Explore Asean’

Kuala Lumpur, 4 Ogos 2025 — MOVE, platform agensi pelancongan dalam talian (OTA) yang berpangkalan di Asean, telah melancarkan kempen “Explore Asean” SNAP! (Penerbangan + Hotel) sempena sambutan Hari ASEAN yang bakal tiba. Pengumuman ini dibuat semasa Mesyuarat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan ASEAN (NTOs) dan Mesyuarat Berkaitan yang berlangsung hari ini di Boracay, Filipina.

Kempen ini menyediakan tawaran penerbangan dan penginapan dalam satu pakej, bertujuan menggalakkan pelancongan rentas Asia Tenggara yang lebih mudah, mampu milik, dan boleh diakses. Seiring dengan semangat Hari ASEAN, “Explore Asean” mengajak para pengembara untuk meneroka budaya serantau yang berwarna-warni, permata tersembunyi dan pengalaman unik menerusi aplikasi MOVE. Para pengguna juga boleh menikmati diskaun RM60* untuk tempahan SNAP! dengan menggunakan kod promosi SNAPNOW di aplikasi MOVE.

Sebagai agensi pelancongan dalam talian yang berasal dari Asean dan diabangunkan khusus untuk rantau ini, MOVE menghubungkan para pengembara dengan lebih 700 syarikat penerbangan, sejuta hotel, perkhidmatan pemindahan lapangan terbang, insurans perjalanan serta acara hiburan dan sukan semuanya melalui satu aplikasi berasaskan mudah alih yang direka khusus untuk generasi baharu pengembara Asean.

Ravi Shankar, Ketua Pegawai Pemasaran MOVE, berkongsi makna lebih mendalam di sebalik kempen ini, “Ini mencerminkan komitmen aktif kami untuk menjadikan pelancongan lebih inklusif, lebih mampu milik, dan lebih bermakna untuk semua di rantau ini. Dan di MOVE, matlamat kami mudah, membolehkan semua orang Travel More for Less.

Beliau menambah, “‘Explore Asean’ bukan sekadar tawaran istimewa, ia adalah tentang membuka pintu. Asean bukan sekadar gabungan negara, tetapi masa depan yang saling berhubung menanti untuk direalisasikan.”

Seiring aspirasi pelancongan ASEAN, MOVE terus menyokong usaha yang membuka dan menghubungkan rantau ini — bukan sahaja antara sesama negara ASEAN, tetapi juga kepada dunia.

*Tertakluk pada terma & syarat