Capital A lengkap pelupusan perniagaan penerbangan kepada AirAsia X

KUALA LUMPUR, 18 Januari – Capital A Berhad (“Capital A”) telah melengkapkan pelupusan perniagaan penerbangannya (AirAsia Berhad dan AirAsia Aviation Group Limited) kepada AirAsia X Berhad (“AAX”), dengan pengumumannya kepada Bursa Malaysia bertarikh pada 16 Januari. Langkah ini menandakan penutup kepada proses penstrukturan semula selama enam tahun syarikat serta permulaan kepada fasa baharu perjalanannya.

Transaksi ini diselesaikan melalui peruntukan dan penerbitan sebanyak 2,307,692,307 saham baharu AAX (“Saham Pertimbangan”) kepada Capital A dan pemegang sahamnya yang layak menerusi pengagihan dividen secara dividend-in-specie, selain pengambilalihan oleh AAX liabiliti berjumlah RM3.8 bilion yang sebelum ini terhutang oleh Capital A kepada AirAsia Berhad. Pada masa yang sama, AAX turut memperuntukkan dan menerbitkan 606,060,606 saham penempatan kepada para pelabur. Saham Pertimbangan dan saham penempatan tersebut dijadualkan untuk disenaraikan dan didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Januari 2026.

Transaksi penuh ini menggabungkan kesemua syarikat penerbangan berjenama AirAsia di bawah satu platform penerbangan tunggal iaitu “Kumpulan AirAsia”, sementara Capital A beralih bagi mengembangkan portfolio bukan sahaja kepada penerbangannya.


Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata: “Ini merupakan antara detik paling penting dalam kerjaya saya. Kami akhirnya mengharungi bab paling mencabar dalam sejarah kami. Pencapaian ini melambangkan kemuncak kepada salah satu usaha penstrukturan semula yang paling kompleks dan ketat pernah dilaksanakan oleh sebuah kumpulan penerbangan, sejak Covid-19 yang menyebabkan industri penerbangan terhenti selama enam tahun lalu. Berputus asa bukan satu pilihan, dan kami memilih untuk membina semula dengan cara yang betul, langkah demi langkah, kelulusan demi kelulusan. Hari ini, pelupusan perniagaan penerbangan ini akhirnya berjaya dilaksanakan.

Kepada semua Allstars, pemegang saham, rakan kongsi dan pengawal selia,  ini bukan sekadar penamat kepada proses penstrukturan semula, tetapi satu perjalanan membuktikan daya tahan, keberanian dan tekad kami untuk menghadapi saat-saat paling sukar dan bangkit lebih kuat. Saya berbangga dengan apa yang telah kami capai.

AirAsia akan menjadi sebuah kumpulan penerbangan yang lebih kukuh dalam menawarkan perkhidmatan lebih baik dan nilai lebih tinggi kepada para tetamu kami. Di Capital A pula, ekosistem kami melalui ADE, Teleport, AirAsia MOVE, AirAsia Next dan Santan yang akan memberi fokus strategik dan mempercepatkan pertumbuhan, sambil memastikan kelestarian jangka panjang dan penciptaan nilai untuk para pemegang saham. Saya amat teruja untuk memulakan perjalanan seterusnya.”

Teh Mun Hui, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Capital A berkata: “Sepanjang enam tahun dan melibatkan pelbagai pihak, kami berjaya menyeimbangkan disiplin pengawalseliaan. Kami melaksanakan pemindahan yang rapi dengan pertimbangan dalam bentuk saham AAX dan liabiliti sebanyak RM3.8 bilion yang diambil alih oleh AAX, bagi melindungi tunai, menyusun semula laporan dengan tepat dan mewujudkan dua entiti yang fokus. Dengan penyempurnaan transaksi ini, pengagihan kepada pemegang saham yang layak akan sejajar dengan penyenaraian, dan kami akan segera berusaha untuk melupuskan label PN17. Capital A, dengan modal yang terkawal dan tadbir urus kukuh bagi lima perniagaannya iaitu ADE, Teleport, AirAsia MOVE, AirAsia Next dan Santan dibina untuk mengurangkan kos, meningkatkan pendapatan dan menghasilkan pulangan jangka panjang yang mampan.”

Capital A akan memberikan kemas kini lanjut sebaik sahaja langkah-langkah prosedur yang tinggal diselesaikan, termasuk perkembangan permohonan penangguhan label PN17.