AirAsia adalah syarikat penerbangan rasmi Liga Malaysia
SEPANG, 6 Mac 2019 - AirAsia telah menandatangani kerjasama untuk menjadi syarikat penerbangan eksklusif rasmi bagi Liga Malaysia 2019-2020.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, AirAsia akan menawarkan diskaun tambang penerbangan kepada pasukan yang bermain dalam Piala Malaysia, Liga Super, Liga Premier dan kejohanan Piala FA di seluruh Malaysia dan rantau ini.
AirAsia juga akan mempunyai hak untuk menjual tiket perlawanan sama ada secara tunggal atau dipakej dengan penerbangan dan/atau tawaran hotel melalui airasiaredtix.com.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Kevin Ramalingam berkata, “Saya teruja untuk melihat para pemain dalam liga ini akan terbang bersama AirAsia ke perlawanan mereka. Siapa sangka sebuah syarikat Malaysia kini menjadi sebuah syarikat gergasi, dan syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia untuk 10 tahun berturut-turut, dan saya percaya kita boleh berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh Tony dan pasukannya. Kami berharap kerjasama dengan syarikat terbaik dunia ini akan membawa sukan bola sepak tempatan ke tahap yang lebih tinggi selari dengan usaha kami untuk meletakkan Malaysia di peta bola sepak sekali lagi.”
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata, “Sukan bola sepak adalah salah satu daripada minat saya dan ia boleh dilihat melalui AirAsia. Selain menaja Liga Junior KL AirAsia untuk memajukan sukan bola sepak belia di Lembah Klang, kami juga mempunyai pasukan belia kami sendiri iaitu PJ Rangers FC. Baru-baru ini, kami turut menerbangkan para peminat Harimau Malaya untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir dan pusingan akhir Piala AFF Suzuki di Bangkok dan Hanoi.
“Kerjasama MFL adalah satu peluang keemasan bagi AirAsia untuk terus menyokong sukan bola sepak Malaysia, dan kami berbangga kerana dapat memainkan peranan dalam memberi inspirasi kepada generasi baharu dan menjadikan impian satu kenyataan bagi para pemain, pasukan, dan peminat sukan ini. Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan mereka di dalam penerbangan kami.”
Untuk berita terkini AirAsia, aktiviti dan promosi, ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia).
***
Mengenai Malaysian Football League
Malaysian Football League (MFL) diwujudkan dengan matlamat untuk menswastakan liga bola sepak profesional di Malaysia. MFL mengendalikan dan menguruskan 6 entiti pertandingan iaitu Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Challenge Cup. Dengan visi untuk menjadikan sukan bola sepak menjadi kebanggaan negara sekali lagi, usaha MFL untuk mengubah bola sepak Malaysia berdasarkan 4 elemen; perlawanan kompetetitif di dalam semua pertandingan, perkembangan komersil yang positif, kerjasama yang kuat dengan pihak yang berkepentingan dan meningkatkan tahap profesionalisme serta integriti di dalam pasukan dan pengurusan liga.