AirAsia anjur Hari Kelestarian pertama untuk memacu industri penerbangan yang lebih hijau
SEPANG, 27 Jun 2023 ‒ AirAsia membuka lembaran baharu dalam usahanya untuk memacu penglibatan industri dan kerjasama lebih besar dengan menganjurkan Hari Kelestarian pertamanya, bertemakan ‘Melaksanakan Kelebihan Dengan Kekurangan’.
Dipacu oleh Ketua Pegawai Kelestarian Capital A Yap Mun Ching, acara tersebut memfokuskan kepada inisiatif AirAsia ke arah penyahkarbonan, serta cabaran dan peluang dalam pelaksanaan strategi ini. Barisan panel yang hadir terdiri daripada pakar teknikal AirAsia yang turut berkongsi bagaimana AirAsia memfaktorkan pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir (ESG) melalui penggunaan aset pesawatnya, prospek untuk beralih kepada bahan api bio yang lebih hijau, peluang untuk pembiayaan ESG dan pengurusan bakat untuk memenuhi keperluan pertumbuhan masa hadapan.
Acara tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Penasihat Kelestarian AAAGL, Prof. Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.
Ketua Pegawai Kelestarian Capital A, Yap Mun Ching berkata: “Hari ini menandakan kali pertama kami membawa semua pihak berkepentingan industri utama daripada pegawai kerajaan, pengawal selia, institusi kewangan, penganalisis penerbangan, rakan kongsi perniagaan dan media, untuk menekankan pemahaman mereka tentang selok-belok kelestarian dalam industri penerbangan. Dalam pada kami memperkasakan semula perkhidmatan selepas pandemik, kami turut memperluas dan memperdalam aspek kelestarian dengan memasukkan amalan ESG ke dalam segment strategik utama kami supaya kami pulih dengan lebih kukuh dan lebih baik.
“Memandangkan industri penerbangan merupakan sektor yang akan terus mendapat permintaan kukuh, penyahkarbonan dalam industri penerbangan memerlukan usaha kolaboratif bukan sahaja daripada syarikat penerbangan, malah daripada semua pihak berkepentingan industri jika kita ingin mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang tahun 2050. Hampir setiap hari media massa melaporkan bahawa dunia berkemungkinan mengalami ketandusan alam sekitar lebih awal daripada jangkaan, justeru, ia memerlukan tindakan segera oleh semua pihak untuk merealisasikan dan memudahkan penyelesaian yang diperlukan oleh syarikat penerbangan untuk mengurangkan pelepasan karbonnya.”
Dalam perkongsiannya mengenai pelan sifar bersih AirAsia, Yap meneruskan: “Semua syarikat penerbangan mempunyai dengan empat pilihan untuk penyahkarbonan, iaitu sama ada menaik taraf pesawat mereka, meningkatkan pelaksanaan prosedur operasi hijau, beralih kepada bahan api bio dan mengimbangi baki pelepasan. Keutamaan AirAsia adalah untuk menaik taraf pesawatnya kepada jenis A321neo, yang diiktiraf sebagai pesawat dengan penjimatan bahan api terbaik di pasaran hari ini, serta dalam mengembangkan dan memperdalam program kecekapan bahan api terkemukanya.
“Sama ada kita menggunakan bahan api fosil atau bahan api bio, apa yang harus diutamakan adalah sama ada kita menggunakan lebih daripada apa yang diperlukan. Program kecekapan bahan api AirAsia adalah salah satu inisiatif terbaik dalam industri, jika bukan di dunia. Dalam pada kami meneroka penyelesaian baharu, kami tidak boleh melupakan kekuatan kami yang membolehkan kami mencapai antara kos dan pelepasan karbon terendah bagi setiap tempat duduk dalam industri,” tambah beliau.
Menerusi perbincangan panel, Ketua Operasi Pesawat dan Penerbangan AirAsia memfokuskan bagaimana syarikat penerbangan itu memasukkan pertimbangan ESG ke dalam penggunaan pesawatnya yang semakin meningkat. AirAsia kini mempunyai tempahan 362 buah pesawat jenis A321neo baharu yang akan tiba antara tahun 2024 dan 2035. Menurut Pengurus Kanan Projek Operasi Penerbangan, Pembangunan dan Kecekapan AirAsia, Jonathan Sanjay, sejak tahun 2015, syarikat penerbangan itu telah berjaya menjimatkan lebih AS$130 juta dalam penggunaan bahan api, selain mengelakkan pelepasan karbon dioksida yang berkaitan. AirAsia juga sedang meneroka pilihan untuk memperkenalkan bahan api penerbangan mampan (SAF) ke dalam campuran bahan apinya sebelum tahun 2025.
Sesi hari ini juga diteruskan dengan pandangan mengenai peranan pelbagai pihak berkepentingan dalam memudahkan penggunaan bahan api bio oleh Christoph Behrendt-Rieken, Pakar SAF Utama Kerjasama EU-Asia Tenggara melalui Projek Mengurangkan Kesan Perubahan Iklim daripada Penerbangan Awam (EU-SEA CCCA CORSIA) yang dilaksanakan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan EU; dan pilihan dalam pembiayaan ESG oleh pakar undang-undang penerbangan Teo Hui Ling, yang juga rakan kongsi di Reed Smith LLP. Ini diikuti oleh sesi mengenai pengalaman AirAsia dalam memanfaatkan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman untuk mencipta kelebihan daya saingnya sepanjang 22 tahun yang lalu. Acara tersebut berakhir dengan lawatan khas ke kompleks kejuruteraan AirAsia, RedChain, di mana para peserta telah diperkenalkan dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Asia Digital Engineering untuk merevolusikan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih penerbangan melalui pendigitalan.
AirAsia turut melancarkan Panduan Kelestarian Penerbangan, buku panduan terma kelestarian penerbangan untuk menjadikan konsep tersebut lebih mudah diakses oleh orang ramai. Buku panduan itu juga menyerlahkan hasil daripada pelaksanaan AirAsia terhadap beberapa langkah pengurangan karbon yang telah disenaraikan. Penerbitan buku tersebut disokong oleh rakan perniagaan AirAsia, iaitu Avolon, Honeywell, Mirus Aircraft Seating, PETRONAS, Shell Aviation dan SITA.
Untuk maklumat lanjut mengenai pencapaian, matlamat dan sasaran Kemampanan AirAsia, sila rujuk kepada Laporan Kelestarian Capital A 2022.