AirAsia Aviation Group kukuhkan barisan kepimpinan untuk memacu era baharu

Keterangan Gambar: (Dari kiri ke kanan) Tan Sri Tony Fernandes, CEO Capital A; Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Aviation Group Limited; Farouk Kamal, Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan (Korporat) AirAsia Aviation Group Limited; Datuk Captain Chester Voo, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group Limited; dan Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited pada majlis pengumuman barisan kepimpinan di RedQ, AirAsia hari ini.

SEPANG, 8 Januari 2024 - AirAsia kini bersedia untuk memulakan fasa pertumbuhan baharu dengan pengumuman pelantikan barisan kepimpinan utamanya iaitu Datuk Kapten Chester Voo sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) dan Encik Farouk Kamal sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat). Kedua-dua eksekutif ini akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan kumpulan syarikat penerbangan ini.

Datuk Kapten Chester Voo akan memimpin Operasi Penerbangan dengan fokus dalam mengoptimumkan dan meningkatkan kecekapan fungsi utama syarikat penerbangan tersebut serta mengenal pasti dan meminimumkan risiko yang berpotensi bagi memacu prestasi keseluruhan syarikat penerbangan. Berdasarkan rekod prestasi yang kukuh dalam industri penerbangan, termasuk lebih 11 tahun bersama AirAsia, dan berkhidmat dalam jawatan kepimpinan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), beliau membawa pengalaman yang luas dalam peranan ini.

Encik Farouk Kamal pula akan bertanggungjawab dalam fungsi korporat yang merangkumi perkhidmatan Kewangan, Kewangan Korporat, Pajakan Pesawat, Undang-Undang, Hubungan Pelabur  dan Strategi. Beliau juga akan mengawasi jabatan Audit Dalaman dan Pengurusan Risiko untuk kumpulan penerbangan. Beliau menyertai syarikat penerbangan ini dari Urusharta Jamaah, sebuah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), di mana beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan. Sebelum itu, beliau berkhidmat dalam jawatan Perbankan Pelaburan di Deutsche Bank, J.P. Morgan dan Credit Suisse. Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah AirAsia X.

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group berkata: “Dalam pada kami memasuki era baharu, pelantikan barisan kepimpinan utama ini menandakan kejayaan penting dalam evolusi syarikat penerbangan ini yang akan membawa AirAsia lebih tinggi dalam transformasi digital, inovasi dan pertumbuhan yang lebih mampan. Kerjasama antara kedua-dua pemimpin ini akan membolehkan kami terus fokus untuk menjana keputusan strategik, perancangan jangka panjang dan hala tuju keseluruhan organisasi untuk syarikat ini. Gabungan individu berpengalaman ini bersama pasukan sedia ada dijangka dapat meningkatkan inovasi dan mendorong kami ke arah kejayaan berterusan. Saya yakin dengan pengalaman berharga yang dimiliki oleh Captain Chester dan Farouk, di dalam dan luar AirAsia akan menjadi aset bernilai bagi mencapai matlamat jangka pendek, sederhana dan jangka panjang kami.”

Datuk Kapten Chester Voo, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group berkata: “Ia merupakan satu penghormatan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab ini pada masa yang penting dalam perjalanan AirAsia. Fokus kepada kecekapan, pengurangan risiko dan peningkatan prestasi akan menjadi aspek penting dalam menangani cabaran dan peluang yang menanti untuk membentuk masa depan AirAsia Aviation Group. Industri penerbangan berkembang dengan cepat dan saya bersedia untuk memastikan AirAsia terus menetapkan aras baharu dalam semua aspek operasi kami.”

Farouk Kamal, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat) AirAsia Aviation Group berkata: “Seiring dengan persiapan AirAsia dalam memulakan fasa pertumbuhan baharu, fungsi Korporat memainkan peranan penting dalam keseluruhan strategi dan kejayaan syarikat penerbangan ini. Dengan penyelarasan matlamat dan visi yang lebih luas dalam syarikat ini, kami akan melaksanakan strategi yang bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan kewangan syarikat, tetapi juga kepada reputasi kecemerlangan dan inovasinya. Saya berharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan berterusan AirAsia bukan sahaja di peringkat Asean, malah di peringkat yang lebih tinggi.”

Perancangan AirAsia untuk tahun 2024 adalah ke arah pemulihan penuh terhadap operasinya. Syarikat penerbangan ini akan mengaktifkan semula 191 jumlah pesawatnya menjelang akhir suku pertama tahun ini dengan 166 jumlah pesawat dalam operasi. Sejajar dengan pemulihan yang kukuh, AirAsia juga akan melihat kapasitinya pulih kepada 83% daripada pra-pandemik menjelang akhir suku pertama tahun 2024 dan akan terus berkembang pada masa depan.