AirAsia bakal kurangkan 221 tan pelepasan CO₂ bagi setiap pesawat pada setiap setahun melalui penyelesaian Operasi Penerbangan baharu

SEPANG, 2 Jun 2022 - AirAsia bakal melaksanakan inisiatif yang inovatif melalui pemasangan perisian Descent Profile Optimiser (DPO) pada pesawat A320ceo bermula pada bulan Jun sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada Ahad ini. Inisiatif ini bukan sahaja akan membantu menjana penjimatan bahan api malah mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) dengan ketara. 

Penambahbaikan kepada pangkalan data Sistem Pengurusan Penerbangan (FMS) dalam rangkaian pesawat itu membolehkan setiap pesawat mengoptimumkan fasa penurunan penerbangan dan meminimumkan jumlah masa ketidakcekapan pesawat tersebut.

Inisiatif baharu ini dijangka bakal mengurangkan penggunaan bahan api dan meningkatkan kecekapan bahan api sehingga 0.75% daripada pembakaran bahan api sedia ada bersamaan dengan penjimatan 101 kg pelepasan CO₂ untuk setiap penerbangan. Ini akan mengurangkan pelepasan CO₂ sebanyak lebih 221 tan bagi setiap pesawat pada setiap tahun, menjadikan Operasi Penerbangan lebih lestari dengan lebih ketara.

Setelah dipasang pada 17 pesawat pada peringkat awal, ia akan mengurangkan sebanyak 3,764 tan CO₂ pada setiap tahun atau bersamaan dengan 62,700 pokok yang ditanam di kawasan bandar berdasarkan Pengiraan Kesetaraan Gas Rumah Hijau EPA AS.

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) berkata: “Industri pelancongan kini telah mula pulih dan kami menjangka untuk kembali ke tahap pra pandemik menjelang akhir tahun ini. Justeru, penting untuk kami menyemak semula strategi kelestarian kami dan melaksanakan inisiatif serta proses baharu yang akan membantu meminimumkan kesan terhadap alam sekitar melalui operasi penerbangan kami. Melalui pemasangan perisian penyelesaian pengoptimuman operasi penerbangan baharu ini pada pesawat A320ceo sedia ada, ia membolehkan kami untuk mengurangkan jejak karbon untuk jangka masa pendek dan sederhana sementara kami meningkatkan penggunaan pesawat A321neo yang akan menjimatkan bahan api untuk jangka masa panjang.

“Berdasarkan situasi perubahan iklim dan penglibatan industri penerbangan terhadap pelepasan sisa karbon, keutamaan kami adalah untuk mengurangkan jejak karbon dalam usaha kami ke arah kelestarian alam sekitar dan kami berharap untuk mengurangkan lagi pelepasan CO₂ sebanyak 221 tan untuk setiap pesawat pada setiap tahun melalui sistem DPO ini. Kami kekal komited untuk memastikan bukan sahaja kami membina sebuah syarikat penerbangan yang lestari tetapi sejajar dengan matlamat kemampanan pelepasan karbon bersih-sifar menjelang tahun 2050.

Selain DPO, AirAsia telah melaksanakan beberapa inisiatif kecekapan utama lain untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon seperti One Engine Taxi (prosedur mengendalikan satu enjin semasa pergerakan pesawat di tarmac dan bukannya kedua-dua enjin), Idle Reverse Landing (prosedur menggunakan daya enjin semasa pendaratan untuk mengurangkan bunyi bising dan pembakaran bahan api) dan pendekatan Required Navigation Performance-Authorisation Required (RNP-AR) (prosedur menggunakan keupayaan navigasi lanjutan pesawat dan bukannya peralatan konvensional untuk pendekatan pendaratan terpendek). Pada tahun 2021, semua inisiatif yang telah dilaksanakan ini membolehkan AirAsia menghindari pengeluaran 11,175 tan karbon dioksida, bersamaan dengan penanaman 186,250 pokok di kawasan bandar.