airasia bakal mengubah masa depan industri penstriman dengan idola maya

0E3F48EA-3BEB-4475-9AD8-45CF208A4F46.png

KUALA LUMPUR, 10 Mac 2021 - Penstrim kandungan di Asean bakal mempunyai platform yang kukuh untuk melancarkan kandungan mereka di rantau ini dan secara global dengan Project Kavvaii, sebuah inisiatif baharu bertujuan untuk menemui dan mengembangkan idola maya - pencipta kandungan yang menggunakan watak virtual dalam kandungan mereka.

Project Kawaii juga akan menyediakan kelengkapan sepenuhnya kepada idola maya yang berpotensi untuk menjadi idola maya terbaik di rantau ini dan mewakili Asean di pentas dunia dengan menyediakan peluang kerjaya, mencari pelanggan berpotensi, memberikan sokongan pemasaran, menjejak keuntungan daripada kandungan strim mereka, dan membantu mereka dari segi perniagaan kandungan strim.

Uji bakat terbuka untuk idola maya pertama Project Kavvaii bermula pada hari ini 10 Mac dan berlangsung hingga 28 Mac 2021 di Asean dan seluruh Asia. Selain mendapat sokongan penuh daripada pasukan sokongan kami, idola maya yang berpotensi juga akan menerima peralatan lengkap untuk bermula sebagai penstrim dan kontrak satu tahun dengan airasia sebagai pencipta kandungan berbayar.

Rudy Khaw, Ketua Pegawai Jenama airasia Group berkata: “Kami telah berubah daripada sebuah syarikat penerbangan kepada jenama gaya hidup dengan airasia super app dan kini, kami terus berinovasi dan menjadi pengganggu industri sebagai pengeluar bakat virtual. Idola maya  bukanlah fenomena baharu di seluruh dunia, tetapi ianya masih berkembang di Asean, dan sebagai sebuah syarikat digital, kami percaya ini adalah masa yang tepat untuk memacu industri ini dengan lebih cepat melalui kemampuan digital kami seperti teknologi kecerdasan buatan dan pengecaman wajah.

“Sudah tentu, watak virtual yang berjaya adalah kerana bakat pencipta kandungan, bukan hanya teknologi semata-mata. Jadi kami mencari pencipta kandungan yang berbakat, kreatif dan mempunyai personaliti menarik untuk berhubung dengan peminat di seluruh Asean dan global! Rebutlah peluang ini untuk menjadi idola maya ternama dan menyertai kami sebagai sebahagian daripada pasukan kreatif yang akan mengubah masa depan kandungan strim di rantau ini.”

Idola maya pertama airasia dicipta oleh seorang artis ilustrator terkenal dalam komuniti idola maya, Yueko dan watak tersebut akan diubah dan dianimasikan oleh sebuah syarikat veteran dalam industri ini iaitu Iron Vertex untuk disesuaikan dengan personaliti idola maya yang dipilih. Idola maya pertama Project Kavvaii dijangka akan mula menemui peminat pada suku kedua tahun 2021.

Semua peserta harus menghantar video selama 5 minit untuk memperkenalkan diri mereka. Untuk terma dan syarat lengkap dan menghantar penyertaan, layari airasia.com/projectkavvaii.

Pada tahun 2019, airasia memperkenalkan AVA (AirAsia Virtual Allstar) bot sembang yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan untuk menjawab pertanyaan para tetamu dengan serta-merta dan mampu menguruskan 25,000 pertanyaan pada bila-bila masa dalam 15 bahasa. AVA dibina oleh pasukan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi AirAsia (AASET) serta pasukan Kebahagiaan Pelanggan menggunakan teknologi dari Ada, sebuah syarikat berpangkalan di Toronto yang pakar dalam menyediakan pengalaman pelanggan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).