AirAsia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyokong kempen ‘Beli Barangan Malaysia’

Kenyataan Gambar: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail mempamerkan beberapa produk buatan Malaysia yang dijual di dalam penerbangan AirAsia di majlis ‘Beli Barangan Malaysia‘ yang disokong oleh AirAsia di ibu pejabat AirAsia RedQ hari ini.

Kenyataan Gambar: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail mempamerkan beberapa produk buatan Malaysia yang dijual di dalam penerbangan AirAsia di majlis ‘Beli Barangan Malaysia‘ yang disokong oleh AirAsia di ibu pejabat AirAsia RedQ hari ini.

SEPANG, 18 APRIL 2019 – AirAsia mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyokong kempen kerajaan iaitu ‘Beli Barangan Malaysia’.

Kempen tersebut bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi domestik dan meningkatkan kesedaran di peringkat global mengenai kualiti barangan buatan Malaysia.

Justeru, AirAsia akan bekerjasama untuk mencari lebih ramai pengusaha dan produk tempatan untuk ditawarkan melalui menu dalam penerbangannya, serta tidak akan mengenakan sebarang caj penyenaraian untuk lebih daripada 550 pengusaha tempatan yang ingin memperluaskan tawaran produk mereka ke platform perjalanan sehenti AirAsia, airasia.com, serta laman e-dagang seperti OURSHOP dan ROKKI.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata, “Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia, AirAsia memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi Asean, terutamanya di Malaysia di mana kami adalah salah satu daripada syarikat ternama di negara ini. Kami komited untuk menyokong sektor pekerjaan dan perniagaan tempatan dan kami berharap melalui kempen ini, kami dapat membantu memacu perniagaan sosial tempatan dan mempromosikan produk tempatan dan serantau ke peringkat dunia.”

Separuh daripada produk yang ditawarkan dalam menu Santan dan T&CO AirAsia adalah produk-produk buatan Malaysia seperti Air Mineral Pendang, Kerepek Kentang BBQ T&CO dan Mi Udang Hokkien, yang hanya boleh didapati secara eksklusif dalam penerbangan AirAsia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail berkata: “Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan AirAsia, sebuah syarikat dan jenama tempatan yang dikenali di peringkat global. AirAsia akan membantu usahawan-usahawan Malaysia untuk mengembangkan pasaran dan produk mereka, dan pihak kementerian akan menyediakan akses kepada program keusahawanan dan bimbingan perniagaan. Kami berharap inisiatif ini akan meningkatkan lagi kesedaran terhadap kualiti perkhidmatan dan produk  buatan Malaysia, membantu perniagaan tempatan mengembangkan pasaran mereka dan memacu ekonomi negara. Apabila usahawan tempatan berjaya, ianya akan menjadi kebanggaan untuk seluruh rakyat Malaysia. Jadi kami berharap kerjasama ini akan membuka peluang untuk lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat besar dalam industri lain.”

Kementerian akan mengenal pasti dan menyediakan para usahawan dengan program perniagaan serta membantu membimbing mereka dari segi standard pelesenan dan pengeluaran produk mengikut piawaian AirAsia. Kementerian juga akan bekerjasama dengan para usahawan tersebut untuk menguruskan sebarang aduan pengguna yang timbul sebagai sebahagian daripada program ini.

Kerjasama ini diumumkan pada hari ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail di ibu pejabat global AirAsia, RedQ di Malaysia.

Para pengusaha tempatan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia boleh mendaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini.