AirAsia dan APM berganding bahu dalam usaha bantuan banjir di Kota Bharu
SEPANG, 7 Disember 2024 – AirAsia komited untuk menyokong Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam misi kritikal menghantar bantuan kepada komuniti yang terjejas akibat banjir yang melanda di Kota Bharu, Kelantan dalam musim monsun ini.
Penerbangan AK6431 membawa bekalan kecemasan seperti makanan, air, dan keperluan perubatan, bersama-sama pasukan APM seramai 15 orang bagi memastikan bantuan dapat diberikan segera kepada kawasan yang terkesan.
Selain misi hari ini, syarikat penerbangan ini juga akan terus bekerjasama dengan APM untuk menerbangkan pasukan dan bekalan apabila diperlukan bergantung kepada kapasiti operasi untuk usaha bantuan di masa akan datang. Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, AirAsia komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberi sokongan kepada komuniti yang memerlukan pada waktu-waktu kritikal.