AirAsia dan Tourism Authority of Thailand perkukuh kerjasama strategik bagi memacu pertumbuhan pelancongan serantau
KUALA LUMPUR, 10 Julai 2026 – AirAsia Group Berhad (dahulunya dikenali sebagai AirAsia X Berhad) dan Tourism Authority of Thailand (TAT) memperkukuh hubungan strategik jangka panjang menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU), disaksikan oleh Perdana Menteri Thailand, bagi mempertingkat kerjasama dalam mempromosikan Thailand sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di rantau ini.
Kerjasama strategik selama tiga tahun bagi tempoh 2026 hingga 2029 ini membuktikan komitmen bersama AirAsia dan TAT dalam memacu pertumbuhan pelancongan, mempertingkat hubungan serantau serta menggalakkan lebih ramai pelancong meneroka keunikan dan pelbagai tarikan yang ditawarkan Thailand.
Menerusi kerjasama strategik ini, AirAsia dan TAT akan memperkukuh usaha promosi bersama melalui pelaksanaan inisiatif bersepadu yang memanfaatkan yang memanfaatkan keupayaan pemasaran, komunikasi serta ekosistem pelancongan kedua-dua pihak bagi meningkatkan daya tarikan Thailand sebagai destinasi pilihan, di samping menyokong pertumbuhan jumlah pelawat dari pasaran utama. Kedua-dua pihak turut akan bekerjasama rapat dalam mempromosikan laluan penerbangan sedia ada dan baharu, serta berkongsi pandangan pasaran bagi memahami keperluan perjalanan yang berkembang dan mengenal pasti peluang baharu untuk memacu pertumbuhan sektor pelancongan serantau.
AirAsia Group kini mengendalikan sebanyak 123 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Thailand menerusi AirAsia Malaysia (AK) dan Thai AirAsia (FD), menghubungkan pelancong melalui lapan laluan terus. Dari Kuala Lumpur, AirAsia menawarkan penerbangan ke Bangkok (Don Mueang), Chiang Mai, Phuket, Krabi dan Hat Yai, selain menghubungkan Penang ke Bangkok (Don Mueang) dan Phuket, serta Johor Bahru ke Bangkok (Don Mueang). Rangkaian penerbangan yang meluas ini terus menawarkan kemudahan perjalanan yang lancar, berpatutan dan lebih mudah antara kedua-dua negara.
Merupakan salah satu kumpulan syarikat penerbangan terkemuka Asean, AirAsia akan memanfaatkan rangkaian laluan penerbangan yang luas serta ekosistem digitalnya untuk memperkenalkan Thailand kepada jutaan pelancong di seluruh rantau ini. Usaha ini selari dengan kempen TAT, “Amazing Thailand, Feel All the Feelings”, bagi menggalakkan lebih ramai pelawat meneroka kekayaan budaya, layanan mesra bertaraf dunia serta pelbagai tarikan unik yang ditawarkan oleh Thailand.
Farouk Kamal, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group Berhad, berkata: “Thailand sentiasa menjadi antara pasaran utama AirAsia dan kami berbangga untuk terus memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelancong ke destinasi ini. Kerjasama strategik bersama Tourism Authority of Thailand membuktikan komitmen bersama kami untuk memperluas akses perjalanan, memperkukuh hubungan serantau serta menyokong pertumbuhan mampan industri pelancongan Thailand.”
“Pada separuh pertama tahun 2026, AirAsia telah menerbangkan lebih satu juta tetamu antara Malaysia dan Thailand, sekali gus mengukuhkan permintaan perjalanan yang kukuh antara dua pasaran utama ini bagi Kumpulan kami. Menerusi kerjasama strategik bersama TAT ini, kami berharap dapat meneruskan momentum positif dengan meningkatkan ketibaan pelawat, memperkukuh kesalinghubungan serta mempromosikan keistimewaan Thailand menerusi inisiatif pemasaran dan pelancongan yang berimpak tinggi.”
Kerjasama strategik ini turut memperkukuh hubungan jangka panjang antara AirAsia dan TAT, selaras dengan usaha menyokong kempen “Amazing Thailand, Feel All the Feelings” serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) sehingga penghujung tahun 2027. Dengan memanfaatkan rangkaian penerbangan AirAsia yang meluas, ekosistem digital dan keupayaan pemasarannya, digabungkan dengan kepakaran TAT dalam pembangunan serta promosi destinasi, kedua-dua pihak komited untuk merancakkan aliran pelancongan dua hala, meningkatkan profil kedua-dua destinasi di peringkat serantau dan antarabangsa, serta memperkukuh kesalinghubungan ASEAN bagi menyokong pertumbuhan industri pelancongan yang mampan.