AirAsia diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun ke-17 berturut-turut
Pengiktirafan pilihan penumpang ini mencerminkan kepercayaan jutaan tetamu di seluruh dunia terhadap usaha AirAsia selama 25 tahun dalam menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses dan mampu milik
LONDON, 18 September 2026 – AirAsia diiktiraf sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun ke-17 berturut-turut di Skytrax World Airline Awards 2026, satu pengiktirafan yang amat bermakna bersempena ulang tahun ke-25 syarikat penerbangan itu dalam menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses dan mampu milik.
Dikenali secara meluas sebagai ‘Oscar industri penerbangan’, Skytrax World Airline Awards merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam industri penerbangan global. Keputusan anugerah ini berdasarkan Kajian Tinjauan Syarikat Penerbangan Dunia (World Airline Survey) tahunan yang dijalankan secara bebas, merangkumi pandangan para pelancong dari seluruh dunia. Bagi AirAsia, pengiktirafan ini amat bermakna kerana ia mencerminkan secara langsung kepercayaan dan keyakinan para tetamu yang telah diperoleh sepanjang 25 tahun perkhidmatan
Datuk Kamarudin Meranun, Pengasas Bersama AirAsia, telah menerima anugerah tersebut bagi pihak AirAsia pada majlis berkenaan, berkata: “Kami memulakan AirAsia 25 tahun lalu dengan satu misi yang cukup mudah iaitu menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses oleh semua. Melihat perjalanan AirAsia sepanjang 25 tahun ini, serta terus menerima kepercayaan para pelancong dari seluruh dunia hingga ke hari ini, merupakan sesuatu yang amat kami banggakan. Pengiktirafan daripada Skytrax ini membuktikan kepercayaan yang telah diberikan oleh para pelancong kepada AirAsia dan kepercayaan tersebut sentiasa kami hargai serta tidak pernah kami ambil mudah.”
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, berkata: “Pengiktirafan ini merupakan tanda keyakinan daripada para tetamu kami dan kami amat berterima kasih atas kepercayaan serta sokongan berterusan yang diberikan. Dalam keadaan industri penerbangan berdepan ketidaktentuan dan pelbagai cabaran geopolitik, pengiktirafan ini menjadi bukti ketahanan, kecekalan dan komitmen yang berterusan setiap Allstar yang terus memberikan yang terbaik kepada para tetamu. Anugerah ini sesungguhnya adalah milik semua kakitangan Allstar kami. Ketika AirAsia terus mengembangkan rangkaiannya di seluruh Asean dan ke destinasi lain, kami komited untuk menghubungkan lebih ramai orang dengan lebih banyak destinasi, di samping terus memperoleh dan mengekalkan kepercayaan para tetamu dalam setiap perjalanan.”
Edward Plaisted, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, berkata: “Kami mengucapkan tahniah kepada AirAsia atas pencapaian membanggakan ini di World Airline Awards 2026. Meraih pengiktirafan ini buat kali ke-17 berturut-turut membuktikan komitmen berterusan AirAsia dalam menawarkan pilihan perjalanan yang berkualiti dan mampu milik kepada para pelanggan. Dalam pasaran penerbangan tambang rendah yang semakin berkembang dan sangat kompetitif, pengiktirafan ini merupakan bukti jelas terhadap kejayaan AirAsia dalam memenuhi keperluan dan jangkaan para pelanggan.”
Sepanjang 25 tahun lalu, AirAsia telah berkembang daripada sebuah syarikat penerbangan tambang rendah kepada rangkaian penerbangan tambang rendah global, menghubungkan jutaan tetamu di seluruh Asia dan destinasi lain. Sepanjang perkembangannya, AirAsia terus memperluas rangkaian serta mempertingkatkan pengalaman perjalanan, sambil kekal komited untuk menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses, mampu milik dan menawarkan nilai terbaik kepada para tetamu.
Skytrax World Airline Awards berdasarkan Kajian Tinjauan Syarikat Penerbangan Dunia (World Airline Survey) tahunan yang dijalankan secara bebas, dengan keputusan berdasarkan undian para penumpang dari seluruh dunia. Kajian ini dikendalikan secara bebas oleh Skytrax tanpa mengenakan sebarang yuran penyertaan atau pendaftaran kepada syarikat penerbangan.
*AirAsia Group, dahulunya dikenali sebagai AirAsia X Berhad