AirAsia dinobat juara Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun ke-16 berturut-turut di Skytrax 2025

PARIS, 18 Jun 2025 - AirAsia telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Skytrax World Airline 2025, sekali lagi memperkukuh legasinya sebagai penanda aras terbaik di peringkat global dalam industri perjalanan tambang rendah untuk tahun ke-16 berturut-turut.
Pencapaian ini membuktikan kejayaan AirAsia merentasi Asean yang disokong oleh rangkaian luas menghubungkan lebih daripada 130 destinasi dengan tambang berpatutan serta komitmen kukuh terhadap kecemerlangan operasi. AirAsia terus mentakrifkan semula konsep kesalinghubungan dengan menjadikan perjalanan lebih mudah diakses, berpatutan dan lancar merentasi Asia melalui strategi pelbagai hab di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.
Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Capital A dan Pengasas Bersama AirAsia semasa menerima anugerah tersebut dalam satu majlis di Paris Air Show 2025 di Perancis pada hari Selasa, berkata: “Kemenangan selama enam belas tahun berturut-turut ini masih bermakna buat kami yang bermula dengan satu impian untuk menjadikan penerbangan berpatutan untuk semua. Pengiktirafan ke-16 ini juga merupakan bukti kami terus setia dengan misi tersebut buat jutaan penumpang yang memilih untuk terbang bersama kami setiap tahun. Anugerah ini merupakan satu pencapaian yang terus memberi inspirasi kepada kami untuk memberikan yang terbaik dan melangkah lebih jauh.”
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Pengasas Bersama AirAsia berkata: “Kemenangan ini benar-benar menyentuh hati saya yang hanya menerbangkan 200,000 tetamu pada tahun pertama dan kini mensasarkan untuk menyambut tetamu ke satu bilion pada tahun ini. Perjalanan ini tidak mungkin akan berlaku tanpa sokongan padu daripada para tetamu serta dedikasi berterusan Allstars yang luar biasa. Setiap cabaran, setiap kebangkitan, semuanya kerana kepercayaan dan usaha mereka. Kami ingin mengucapkan berterima kasih kepada pasukan Skytrax kerana mengiktiraf usaha ini dan saya ingin berkongsi anugerah ini bersama-sama Allstars kerana anugerah ini adalah milik mereka. Terima kasih kerana terus percaya pada impian kami.”
Edward Plaisted, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax berkata: “Kami ingin mengucapkan tahniah kepada AirAsia atas pencapaian luar biasa ini di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia 2025. Kejayaan untuk kali ke-16 ini jelas membuktikan komitmen mereka dalam menawarkan pilihan perjalanan yang berkualiti dan berpatutan kepada semua. Pasaran syarikat penerbangan tambang rendah amat kompetitif dan terus berkembang pesat, dan anugerah ini membuktikan kejayaan AirAsia.”
Anugerah ini turut menjadi bukti kepada sumbangan syarikat penerbangan tersebut dalam menghubungkan bukan sahaja bandar utama, tetapi juga bandar kedua dan ketiga yang kurang mendapat perhatian. Model ini telah melancarkan laluan-laluan unik dan strategik seperti Kuala Lumpur-Labuan Bajo, Bangkok-Narathiwat, Manila-Tagbilaran, Jakarta-Silangit dan lain-lain, sekali gus memperluas akses ke koridor perjalanan baharu dan kawasan pertumbuhan pelancongan. Pada masa akan datang, syarikat penerbangan ini bakal memperkukuh lagi rangkaiannya merentasi Asia Tengah dan Timur Tengah yang merupakan langkah penting dalam merealisasikan aspirasi untuk menjadi rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah global pertama di dunia.
Dalam masa yang sama, penekanan berterusan AirAsia terhadap pengalaman tetamu menjadikannya berbeza daripada yang lain. Setelah menerbangkan hampir satu bilion tetamu, syarikat penerbangan ini terus mengekalkan tahap kesetiaan pelanggan dan sokongan jenama yang tinggi di pasaran utamanya. Dinobatkan sebagai jenama syarikat penerbangan ke-24 paling bernilai di dunia dengan nilai USD1.93 bilion, AirAsia membuktikan kekuatannya di rantau ini serta daya tarikan global yang kukuh.
Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam industri penerbangan global. Kajian dalam talian ini telah dijalankan dari bulan September 2024 hingga Mei 2025 yang telah melibatkan penyertaan lebih 100 kewarganegaraan pelanggan dengan sebanyak 22.3 juta penyertaan yang layak diambil kira dalam keputusan akhir. Lebih daripada 325 syarikat penerbangan telah dipaparkan dalam hasil kajian ini. Semua kos kajian dan acara anugerah ditanggung sepenuhnya oleh Skytrax, dan syarikat penerbangan tidak dikenakan sebarang yuran penyertaan atau pendaftaran.