AirAsia dinobatkan ‘Jenama Paling Berpengaruh’ dalam kategori Syarikat Penerbangan di majlis anugerah Asia CEO Summit & Awards 2025

SINGAPURA, 29 Mac 2025 - AirAsia telah dinobatkan sebagai Jenama Paling Berpengaruh dalam kategori Syarikat Penerbangan di majlis anugerah Asia CEO Summit & Awards 2025, yang dianjurkan oleh Influential Brands, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan asing terbesar dan paling popular di Singapura.

Ini menandakan kali pertama AirAsia memenangi anugerah dalam kategori Syarikat Penerbangan sebagai salah satu jenama pilihan utama, selepas pengiktirafan terdahulu pada tahun 2019 dalam kategori Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik Asia. Anugerah berprestij ini merupakan pencapaian penting yang mencerminkan komitmen berterusan syarikat penerbangan ini terhadap kecemerlangan dalam kualiti perkhidmatan dan tambang berpatutan.

Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami berbangga diiktiraf sebagai salah satu jenama pilihan utama di rantau ini, terutamanya di Singapura. Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, anugerah ini menjadi motivasi besar bagi kami untuk terus menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia kepada para tetamu, selaras dengan kedudukan kami sebagai syarikat penerbangan asing terbesar yang menguasai lebih daripada 30 peratus bahagian pasaran di rantau ini.

“Sepanjang 21 tahun beroperasi di Singapura, kami telah memainkan peranan penting dalam memudahkan perjalanan udara di rantau ini. Dalam tempoh tujuh tahun yang lalu, kami telah menerbangkan lebih daripada 14 juta tetamu ke dan dari Singapura, dan jumlah ini terus meningkat. Kami kekal komited untuk menawarkan pilihan perjalanan yang lebih baik dengan tambang berpatutan dan kesalinghubungan. Pencapaian ini tidak akan terjadi tanpa dedikasi berterusan Allstars kami serta sokongan setia para tetamu kami.”

Jorge Rodriguez, Pengarah Urusan Influential Brands mengucapkan tahniah kepada syarikat penerbangan ini atas pencapaiannya: “AirAsia secara konsisten mempamerkan kepimpinan jenama yang kukuh dan inovasi berorientasikan pelanggan dalam industri penerbangan. Pengiktirafan sebagai Jenama Paling Berpengaruh ini sememangnya layak diterima dan kami memuji komitmen AirAsia dalam menjadikan perjalanan lebih mudah diakses dan berpatutan untuk semua.”

Anugerah Jenama Paling Berpengaruh adalah salah satu anugerah yang diberikan oleh Influential Brands setiap tahun semasa majlis anugerah Asia CEO Summit & Awards. Ia mengiktiraf syarikat-syarikat yang telah memberi impak besar terhadap pilihan pengguna dan piawaian industri. Penghormatan ini diberikan kepada jenama yang menunjukkan ekuiti jenama yang kukuh, inovasi, serta penglibatan pelanggan yang berterusan merentasi pelbagai sektor.

Bagi meraikan pencapaian ini, AirAsia menawarkan tambang rendah sempena cuti sekolah pada bulan Jun akan datang, bermula daripada SGD70* termasuk semua sehala, membolehkan para tetamu terbang dari Singapura ke Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Bali, Bangkok dan banyak lagi. Bagi mereka yang ingin memulakan pengembaraan lebih jauh, mereka boleh memanfaatkan perkhidmatan Fly-Thru melalui Kuala Lumpur atau Bangkok (Don Mueang) dengan lancar bermula SGD185* termasuk semua sehala ke destinasi-destinasi menarik seperti Labuan Bajo, Jaipur, Fukuoka, Almaty dan lain-lain. Layari airasia.com atau tempah melalui aplikasi AirAsia MOVE untuk menempah percutian hari ini.

*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala, termasuk caj perkhidmatan penumpang, surcaj bahan api, dan fi lain yang berkaitan. Tertakluk kepada terma & syarat lain.