AirAsia dinobatkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun ke-13 berturut-turut

Perdana Menteri Malaysia turut mengucapkan tahniah


SEPANG, 24 September 2022
– AirAsia telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2022 untuk tahun ke-13 berturut-turut.

Sebagai anugerah penanda aras global bagi kecemerlangan syarikat penerbangan, Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2022 menerima undian daripada 14.3 juta pelanggan yang terdiri daripada lebih 100 warganegara yang mengundi lebih 300 syarikat penerbangan dari September 2021 hingga Ogos 2022. 

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut mengucapkan tahniah atas pencapaian tersebut. “Tahniah kepada AirAsia kerana telah memenangi anugerah berprestij ini selama 13 tahun berturut-turut. Ini sememangnya satu pencapaian yang hebat bukan sahaja untuk AirAsia, tetapi juga untuk Malaysia. AirAsia bukan sahaja telah memacu dan merevolusikan perjalanan udara dengan tambang rendah di Malaysia dan Asean, malah memberi sumbangan besar kepada industri pelancongan dan sektor ekonomi negara kita. Terima kasih AirAsia kerana terus meletakkan industri penerbangan Malaysia di mata dunia.”

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes yang menerima anugerah tersebut di Hotel Langham di London pada hari Jumaat berkata: “Kami berbangga kerana menerima anugerah ini sekali lagi! Tahun ini terasa lebih istimewa kerana para pengundi terus menyokong kami walaupun kami telah melalui tempoh yang amat sukar berikutan Covid. Pencapaian ini juga luar biasa kerana kini kami kembali terbang tinggi dengan sendiri tanpa bantuan kewangan daripada syarikat lebih besar dan telah menempuh pelbagai cabaran seperti tiada penerbangan selama hampir dua tahun.  

“Terima kasih kepada penganjur Skytrax, lebih 700 juta tetamu yang telah terbang bersama kami dan kepada mereka yang telah memilih untuk mengundi kami dalam anugerah pilihan penumpang ini sekali lagi. Anugerah ini juga ditujukan kepada pasukan Allstars kami, kerana mereka terus memberikan yang terbaik biarpun dalam tempoh yang sukar.

“Sekiranya terdapat satu kelebihan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia memberikan kami peluang dalam tempoh sekatan perjalanan untuk kembali lebih kuat. Hanya beberapa hari yang lalu, kami telah memecahkan rekod jualan harian dan melalui data serta jenama yang kuat, kami kini dapat menyediakan ekosistem perjalanan lengkap di mana para tetamu boleh menikmati pelbagai perkhidmatan seperti perjalanan, e-dagang, logistik dan teknologi kewangan pada platform perjalanan dan gaya hidup kami.

“Kami akan terus terbang tinggi. Kami telah bertahan, membina semula perniagaan dan kini sedang pulih untuk terus menawarkan lebih nilai dan pilihan kepada semua tetamu kami.”

Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted berkata: “AirAsia mentakrifkan semula perjalanan udara dengan tambang rendah di Asia dan walaupun telah menghadapi cabaran pasca-pandemik baru-baru ini, ia terus menjadi pilihan pelanggan. Memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali ke-13 adalah satu pencapaian yang menakjubkan, dan kami mengucapkan tahniah kepada semua ahli keluarga AirAsia atas pencapaian ini.”

Ikuti perkembangan terkini mengenai penerbangan, perjalanan, gaya hidup dan banyak lagi melalui @flyairasia di Instagram atau @airasia di Twitter dan WeChat/Weibo untuk mendapatkan kemas kini terkini.