AirAsia diumumkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia 2024 oleh AirlineRatings.com

SEPANG, 28 Mei 2024 - Kumpulan AirAsia* termasuk syarikat penerbangan jarak sederhana AirAsia X dan Thai AirAsia X telah diumumkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia 2024 oleh AirlineRatings.com dalam Anugerah Kecemerlangan Syarikat Penerbangan tahunan mereka.

Dilancarkan pada tahun 2001 oleh Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes dengan hanya dua pesawat, AirAsia telah berkembang pesat dalam dua dekad ini seterusnya mendominasi rantau Asia.

Kebangkitan AirAsia yang mula beroperasi dari Kuala Lumpur adalah salah satu kisah kejayaan industri penerbangan yang hebat. Syarikat penerbangan ini telah mengharungi pelbagai krisis dan cabaran pengawalseliaan dan persaingan, polisi yang menyokong syarikat penerbangan nasional dan banyak lagi sambil ia mendemokrasikan perjalanan udara dan mentakrifkan semula landskap syarikat penerbangan tambang rendah di Asean dan seterusnya. AirAsia kini beroperasi di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

Kumpulan AirAsia dan syarikat penerbangan jarak sederhananya hari ini memiliki lebih daripada 255 pesawat dan terbang ke lebih daripada 165 destinasi.

Ketua Pengarang AirlineRatings.com Geoffrey Thomas berkata bahawa anugerah kecemerlangan ini layak diterima oleh AirAsia. "Pengasasnya Tan Sri Tony Fernandes, dan pasukan eksekutifnya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bo Lingam serta Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail telah berusaha keras unutk membimbing syarikat penerbangan ini ke kedudukan dominan dalam pasaran mereka.

"Syarikat penerbangan ini telah menjadikan perjalanan berpatutan bagi hampir 800 juta penumpang di seluruh Asia dan Asia Pasifik dan mereka menawarkan nilai dan pengalaman hebat."

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat Strategik kepada AirAsia Aviation Group berkata: "Kami telah melihat pemulihan luar biasa, selepas mengharungi antara krisis penerbangan komersial terburuk di dunia. Kami berterima kasih dan rendah hati dengan anugerah ini yang ditujukan kepada semua Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia dan ahli pasukan kanan serta beribu-ribu Allstars yang telah berusaha untuk membawa kami terbang lebih tinggi. Kini kami mempunyai asas yang tepat untuk pertumbuhan lebih signifikan dan akan memulakan perjalanan baharu dengan rancangan untuk menerokai peluang penerbangan di benua lain yang merupakan satu lagi detik penting dalam perjalanan kami.

"Cadangan pelupusan strategik kumpulan penerbangan AirAsia daripada Capital A kepada AirAsia X sedang berjalan lancar dan akan menjadi pemacu industri untuk menjadikan perjalanan udara berkualiti tinggi dengan tambang rendah bagi penerbangan jarak pendek, sederhana dan jauh menghubungkan rantau Asia dan Asia Pasifik ke seluruh dunia."

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group berkata: "Kami berbesar hati kerana AirAsia terus menjadi pemacu industri sebagai syarikat penerbangan tambang rendah kerana tambang rendah tidak bermakna perkhidmatan bertaraf rendah. Oleh kerana permintaan perjalanan semakin pulih ke tahap pra-pandemik, kami telah menempah lebih daripada 400 pesawat baharu untuk menyokong rancangan pertumbuhan kami. Ini termasuk rancangan penerbangan ke destinasi baharu serta menawarkan lebih nilai dan pilihan kepada para tetamu kami, bukan sahaja ke dan dari Asia, malah ke seluruh dunia.

"Selain momentum strategi pemulihan kami, anugerah ini adalah bukti dedikasi dan ketahanan pasukan AirAsia dan kami berterima kasih kepada pakar-pakar di AirlineRatings.com kerana mengiktiraf komitmen kecemerlangan di seluruh operasi kami."

Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata: “Ini adalah pengiktirafan terhadap usaha berterusan oleh semua ahli pasukan kami, bukan sahaja kerana mereka mampu bertahan daripada kesan pandemik tetapi kembali lebih kuat daripada sebelumnya.

"Kami menantikan peluang sinergi daripada Capital A dan Kumpulan AirAsia yang dijangka membuka peluang untuk para tetamu kami menikmati lebih nilai apabila mereka terbang ke destinasi-destinasi jarak sederhana dan jauh kami.

"Strategi ‘satu syarikat penerbangan’ yang bakal dilancarkan akan menjadikan kami sebagai syarikat penerbangan rangkaian global tambang rendah terkemuka yang menghubungkan Asia ke seluruh dunia."

*Kumpulan AirAsia merujuk kepada AirAsia Malaysia, Thai AirAsia, Philippines AirAsia, AirAsia X dan Thai AirAsia X