AirAsia Drone dan SRI College jalin kerjasama untuk tawar kurikulum pengendalian dron

(Keterangan Gambar: Kapten Ling Liong Tien, Ketua Pegawai Keselamatan, AirAsia Aviation Group dan Ketua AirAsia Drone bersama Dato' Dr. Ronald Louis, Presiden SRI College ketika majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara AirAsia Drone dan SRI College di Petaling Jaya)

PETALING JAYA, 27 Februari 2024 - AirAsia Drone, anak syarikat milik penuh Capital A Berhad dan SRI College Malaysia, sebuah institusi pendidikan pengurusan swasta terkemuka hari ini telah mengumumkan kerjasamanya untuk menawarkan program pengendalian dron dalam usahanya untuk memajukan industri dron di Malaysia.

Kerjasama tersebut adalah untuk membangunkan sebuah kursus Diploma dalam Pengendalian Dron secara bersama yang turut melibatkan Sijil Kecekapan Juruterbang Jarak Jauh Asas (RCOC-B) AirAsia Drone dalam kurikulum itu. Program komprehensif ini akan memberikan para pelajar pemahaman yang lebih mendalam tentang operasi pengendalian dron, pematuhan peraturan serta amalan terbaik industri itu. Pelajar yang mendaftar dalam program diploma tersebut akan berpeluang untuk memperoleh pensijilan RCOC-B, seterusnya meningkatkan kelayakan dan kebolehpasaran mereka dalam industri dron yang kompetitif.

Kapten Ling Liong Tien, Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia Aviation Group dan Ketua AirAsia Drone berkata, “Sebagai antara peneraju dalam industri teknologi dron, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SRI College dalam merancakkan lagi industri ini. Penggunaan dron telah semakin diperluaskan dalam banyak industri yang kritikal seperti pertanian, kejuruteraan, pengawasan, dan kakitangan yang berkelayakan amat diperlukan untuk mengendalikannya. Kerjasama yang telah diumumkan hari ini adalah satu batu loncatan bagi kami dalam usaha untuk memenuhi keperluan industri pengendalian dron di Malaysia. Kami berharap para graduan akan mendapat manfaat daripada kepakaran industri AirAsia Drone dan kecemerlangan akademik SRI College Malaysia dalam memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam pengendalian dron, menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam pasaran kerja dan industri dron yang semakin berkembang hari ini.”

Patricia Louis, Ketua Pegawai Eksekutif SRI College berkata, “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan AirAsia Drone dan ingin menyampaikan penghargaan kami di atas sokongan mereka dalam membangunkan kurikulum pengendalian dron ini bersama-sama kami di SRI College. Berbekalkan pengalaman mereka selama bertahun-tahun di dalam industri penerbangan di samping sekutunya iaitu syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dunia AirAsia, kami percaya bahawa para pelajar akan memperoleh pengetahuan yang banyak dan akhirnya menjadikan mereka lebih berdaya saing di dalam pasaran pekerjaan yang semakin berkembang. Kerjasama ini menandakan komitmen kami untuk menyediakan peluang pembelajaran yang inovatif kepada para pelajar kami dengan merapatkan jurang akademia dan industri, di samping menyediakan mereka untuk kerjaya yang cemerlang dalam bidang penerbangan. Kami menjemput para belia untuk menyertai kami dalam usaha kami merakyatkan inovasi dan teknologi di masa hadapan.”

Program diploma yang dibangunkan bersama itu akan menyediakan latihan teori seperti Pengenalan kepada Drone dan Teknologi, Peraturan dan Pematuhan Dron, Perniagaan dan Keusahawanan dalam Dron, Pemetaan Udara, Pemasaran dan Jualan Dron, Pemantauan Alam Sekitar dan Hidupan Liar. Pelajar juga akan menjalani latihan industri sebagai sebahagian daripada keperluan kursus dan akan dianugerahkan dengan Diploma Pengurusan Dron setelah berjaya menamatkan program tersebut.

Pendaftaran Diploma Pengendalian Dron kini dibuka di SRI College. Untuk maklumat lanjut, layari https://sricollege.edu.my/ 

***TAMAT***