AirAsia Drone tawar kursus latihan dron untuk memacu Vector Kuala Lumpur melangkah ke hadapan industri teknologi berautonomi
KUALA LUMPUR, 28 Jun 2022 - AirAsia dan Vector Kuala Lumpur Sdn Bhd hari ini menandatangani memorandum persetujuan untuk menyediakan latihan berkaitan dron dalam sektor berkaitan perkhidmatan berteknologi tinggi.
Dengan kerjasama AirAsia Drone, Vector Kuala Lumpur bakal mengembangkan kredibiliti dan meningkatkan portfolinya yang pelbagai dalam menerajui penyelidikan dan pembangunan teknologi berautonomi, termasuk industri perkhidmatan dron yang kian pesat membangun.
Sebagai sebuah Organisasi Latihan Juruterbang Jarak Jauh (RPTO) yang pertama diluluskan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), AirAsia Drone akan menyediakan penyelesaian pembelajaran sehenti, latihan dan pembangunan di AirAsia Academy. Program ini berdasarkan garis panduan CAAM, seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (CAR 2016) dan Peraturan Arahan Penerbangan Awam 6011 Bahagian (I) Organisasi Latihan Juruterbang Jarak Jauh.
Ketua Penguatkuasaan Keselamatan AirAsia Aviation Group Limited dan Ketua AirAsia Drone, Kapten Ling Liong Tien berkata: “Inovasi, nilai dan pilihan terus menjadi teras jenama AirAsia. Dron adalah industri pada masa hadapan dan akan merevolusikan pelbagai industri dengan menawarkan pengurangan kos serta menyokong kelestarian alam sekitar.
“Kami berbangga untuk menerajui program latihan dron di Malaysia yang diperakui oleh CAAM di AirAsia Academy. Pengumuman hari ini memperkukuh lagi bagaimana kami menyokong ekonomi negara dalam era digital baharu melalui kerjasama dengan syarikat tempatan seperti Vector Kuala Lumpur dan membawa mereka melangkah ke hadapan industri teknologi berautonomi, selain menerajui latihan dengan pematuhan dan keperluan industri penerbangan yang berkaitan.
“Sejak pelancaran program ini pada awal tahun ini, kami telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada lebih 300 calon juruterbang dron berumur daripada 18 hingga 69 tahun dan kami telah berjaya melatih lebih 170 juruterbang dron sehingga kini. Berdasarkan kepakaran kami dalam kawal selia, keselamatan dan pematuhan penerbangan, pasukan AirAsia Drone berusaha untuk terus membangunkan individu dan organisasi dalam membina ahli profesional yang cekap, menyediakan proses yang berkesan dan sistem yang boleh dipercayai untuk memenuhi cabaran industri berautonomi pada masa hadapan.
“Kami berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Vector Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk melihat bagaimana mereka menggunakan teknologi ini untuk terus mengembangkan syarikat mereka.”
Ketua Pegawai Eksekutif Vector Kuala Lumpur Sdn Bhd Marikh Azahari Bin Ramli berkata: “Kami teruja untuk bekerjasama dengan AirAsia Drone kerana ia sejajar dengan visi kami untuk kekal inovatif dan berdaya saing dalam industri kami. Mereka bukan sahaja menawarkan pengalaman dan kepakaran dalam latihan strategik, malah akan memberikan pandangan berharga tentang aspek keselamatan, peraturan dan pelbagai keperluan penting yang diselaraskan di seluruh industri penerbangan.
“Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) telah menjadi elemen penting dalam pelbagai industri kerana ia menawarkan pelbagai kecekapan seperti kos dan lain-lain. Justeru, kami percaya ini adalah masa yang sesuai untuk kami memanfaatkan dan menggunakan teknologi ini dalam pengembangan portfolio kami. Kami telah memulakan penyediaan latihan juruterbang dron pada tahun 2021 dan percaya Latihan Juruterbang Jarak Jauh yang diluluskan oleh CAAM daripada AirAsia Drone akan membawa kami ke tahap yang lebih tinggi.”
AirAsia mengalu-alukan semua individu dan organisasi termasuk mereka yang tidak mempunyai pengalaman penerbangan terlebih dahulu untuk mendaftar kursus dron melalui laman web AirAsia Academy. Senarai kursus latihan dron dan pautan untuk memohon adalah seperti berikut:
RCOC-B (Remote Pilot Certificate of Competency - Basic) (5 hari) sini
RCOC Module 1 (EVLOS) (Extended Visual Line of Sight) (2 hari) sini
SMS (Safety Management System) (3 hari) sini
CRM (Crew Resource Management) (2 hari) sini
Kursus akan datang termasuklah Modul RCOC 2 AGR (Pertanian), Penilaian Risiko Operasi Khusus (SORA) dan Train the Trainer (TTT).
*** TAMAT ***