AirAsia Foundation lancar pusat perusahaan sosial Destination: GOOD di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2019 - AirAsia Foundation (AAF) maju selangkah ke hadapan dalam bidang keusahawanan sosial dengan melancarkan hab perusahaan sosial pertamanya, Destination: GOOD hari ini.
Bertempat di REXKL, di tengah-tengah lokasi bersejarah Kuala Lumpur, Destination: GOOD mengetengahkan lebih 400 jenis barangan yang dihasilkan secara beretika daripada lebih 30 buah perusahaan sosial di rantau Asean. Bukan sahaja untuk tujuan jualan, pusat tersebut juga bertujuan untuk menjadi sebuah tempat bagi memupuk kerjasama antara usahawan sosial Asean dan perusahaan berasaskan komuniti.
“Dalam masa tujuh tahun yang lalu, kami telah memberi 24 geran kepada perusahaan sosial untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka. Kami sedar bahawa untuk terus berkembang, kami memerlukan sebuah platform yang boleh menembusi pasaran dan menarik pelanggan baharu. Melalui Destination: GOOD, kami berharap untuk menawarkan barangan dan perkhidmatan perusahaan sosial kepada sesiapa sahaja yang mencari penyelesaian perjalanan dan gaya hidup yang mampan,” kata Yap Mun Ching, Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation.
Pelancaraan pusat tersebut dirasmikan oleh Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng serta Pengerusi Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes. Turut hadir adalah 10 rakan perusahaan sosial AirAsia Foundation dari Malaysia seperti The Basikal, Langit Collective dan The Picha Project.
AirAsia Foundation juga telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kraftangan Malaysia sebagai rakan kongsi untuk memperkenalkan kraftangan Malaysia, dan dengan Minconsult Sdn Bhd sebagai rakan korporat pertamanya yang akan sama-sama membiayai aktiviti perusahaan sosial di Kuala Lumpur.
Selain itu, majlis tersebut turut mempamerkan pertunjukan fesyen dengan koleksi bertemakan perjalanan GOOD/jahat/ oleh AirAsia Foundation dan Projek Jahat. Direka menggunakan bahan-bahan AirAsia yang dipakai semula, koleksi 12 pakaian dan asksesori tersebut diperkenalkan dua hari lebih awal di pembukaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019. Koleksi ini kini boleh didapati di hab Destination: GOOD.
Sepanjang dua tahun yang lalu, AAF telah membuka hab Destination: GOOD berskala kecil di lokasi yang berbeza termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2). Ini adalah kali pertama hab tersebut akan ditempatkan di alamat tetap. Alamat baharunya di REXKL, dahulunya merupakan Pawagam Rex yang ikonik, yang kini telah diubah menjadi sebuah hab kreatif dan keusahawanan pelbagai budaya. Selari dengan misi REXKL, Destination: GOOD juga bertujuan untuk mempromosikan budaya dan memupuk perpaduan masyarakat.