AirAsia Foundation tawar geran pemulihan banjir

SEPANG, 11 Januari 2022 - AirAsia Foundation menjemput organisasi bantuan dan pemulihan untuk memohon geran menerusi kempen Bantuan Banjir Malaysia yang telah dilancarkan baru-baru ini bagi membantu membiayai projek pemulihan di kawasan yang terjejas akibat banjir di negara ini. 

Organisasi yang layak memohon adalah organisasi bukan keuntungan berdaftar dengan rekod prestasi yang mempunyai rekod baik dari segi bantuan dan pemulihan pasca bencana. Proses pemilihan akan mengutamakan cadangan untuk baik pulih infrastruktur yang rosak seperti balai raya, sekolah, klinik, jambatan atau kemudahan sanitasi. Organisasi yang ingin menjalankan program kesiapsiagaan bencana dijemput untuk memohon geran ini.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan ini atau di airasiafoundation.com/humanitarian/malaysia-flood-relief.

Sejak 23 Disember 2021, AirAsia Foundation dan BigPay telah bersama-sama mengumpul dana untuk membantu komuniti yang terjejas. Setakat ini, kempen tersebut telah berjaya mengumpul lebih RM400,000 menerusi kutipan sumbangan di dalam penerbangan dan melalui aplikasi BigPay, serta daripada tempahan airasia ride dan airasia food yang diterima antara 23 dan 31 Disember 2021 lepas. 

Memandangkan sambutan yang menggalakkan terhadap kempen tersebut, AirAsia Foundation akan melanjutkan kutipan derma di dalam penerbangan selama dua minggu dari 9 Januari kepada 23 Januari 2022.

Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation Yap Mun Ching berkata: “Kami amat terharu dengan kemurahan hati para tetamu AirAsia yang terus menyokong kempen ini. Memandangkan cuaca masih tidak menentu di mana hujan lebat terus menyebabkan banjir teruk di kawasan lain di negara ini, kami ingin melanjutkan tempoh derma untuk membantu lebih ramai komuniti yang memerlukan.” 

Selain daripada sumbangan tunai di dalam penerbangan, pengguna BigPay dengan peranti Android boleh menderma melalui aplikasinya sehingga 31 Januari 2022. Untuk menderma, pengguna boleh menekan tab ‘Payments’ dan klik pada butang ‘Donations’. Pengguna BigPay perlu mengemas kini aplikasi mereka untuk menderma. 

AirAsia Foundation telah menyokong pelbagai organisasi untuk memberikan bantuan kepada komuniti dalam krisis. Sejak tahun 2013, yayasan ini telah menyumbang lebih RM14 juta untuk menyokong program pemulihan dan pemuliharaan bencana selepas Typhoon Haiyan (2013), banjir di Malaysia (2014), gempa bumi di Nepal (2015) dan tsunami di Palu (2018). Pada tahun 2019, AirAsia Foundation dan BigPay bekerjasama untuk mengumpul RM178,000 bagi menyediakan bantuan makanan dan perubatan kepada komuniti yang kurang bernasib baik yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Untuk maklumat lanjut dan status kutipan derma, layari airasiafoundation.com/humanitarian/malaysia-flood-relief.

***

Mengenai AirAsia Foundation

AirAsia Foundation komited untuk membantu membina komuniti ASEAN masa hadapan dengan menyokong keusahawanan sosial, peluang sama rata, dan inovasi. Sebagai cabang dermawan AirAsia Group, ia menyediakan geran perusahaan sosial untuk memperkasakan individu yang kurang bernasib baik dan menyokong projek-projek yang memelihara dan memulihara warisan budaya unik di rantau ini. AirAsia Foundation juga menerajui kempen pengumpulan dana dan kemanusiaan airasia Group serta kempen inisiatif anti-pemerdagangan #KnowtheSigns.

Sejak penubuhannya pada tahun 2012, AirAsia Foundation telah membiayai lebih RM2 juta dalam bentuk geran perusahaan sosial dan telah menyokong lebih daripada 3,200 penerima bantuan, selain memberi bantuan dan geran pemulihan pasca-bencana lebih RM14 juta. Antara projek inovatif yang dibiayai melalui sumbangan ini adalah reka bentuk dan pembinaan perumahan tahan bencana, sekolah dan infrastruktur komuniti; program persediaan sekolah; dan projek pembinaan semula mata pencarian.

Mengenai BigPay

Dilancarkan pada tahun 2017, BigPay adalah salah sebuah syarikat teknologi kewangan ASEAN yang komited untuk mendemokrasikan perkhidmatan kewangan, keterangkuman dan kesihatan di rantau ini dengan menawarkan kemudahan, ketelusan dan keselamatan perkhidmatan kewangan. Daripada pembayaran, pemindahan wang antarabangsa, kredit, insurans mikro dan ciri penganggaran kewangan, BigPay bertujuan untuk menjadi penyelesaian sehenti untuk keperluan kewangan untuk pengguna dan pengusaha di Asia Tenggara.