AirAsia Foundation bantu perusahaan sosial di Sabah dan Sarawak dengan penghantaran produk mereka secara percuma ke seluruh negara

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2021 - AirAsia Foundation menawarkan penghantaran percuma ke seluruh negara bagik produk dari negeri Sabah dan Sarawak yang terjual di laman perusahaannya DestinationGOOD.com. Promosi istimewa yang bertujuan membantu perniagaan kecil dan perusahaan sosial dari negeri-negeri tersebut. Berlangsung mulai hari ini, 15 Jun hingga 30 Jun 2021.  

Kempen ini juga bersempena dengan sambutan perayaan tahunan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang disambut di negeri Sabah dan Sarawak baru-baru ini. Para pelanggan boleh mendapatkan penghantaran percuma dengan menggunakan kod promosi GOODHarvest.

Antara produk yang terjual di DestinationGOOD.com adalah barangan runcit seperti beras premium, garam dan rempah-ratus, barangan kraftangan seperti bakul anyaman, beg dan pelbagai judul buku kanak-kanak yang meraikan pelbagai tradisi budaya etnik Malaysia Timur. Selain daripada produk-produk perusahaan sosial seperti Bario Asal, Langit Collective, Oyezbooks dan Helping Hands Penan, laman tersebut juga menawarkan barangan daripada usahawan kraf bebas.

Pengarah Eksekutif AirAsia Foundation Yap Mun Ching berkata: “Dalam menyokong keperluan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengawal penyebaran pandemik Covid-19, kami juga sedar bahawa sekatan ini mungkin menyulitkan rakan perusahaan sosial kami. Justeru, kami mengambil inisiatif untuk menawarkan penghantaran percuma untuk semua jualan produk mereka, dan memberi peluang kepada para pelanggan dan peminat produk artisan untuk terus menyokong perusahaannya.

“Produk-produk yang ditawarkan juga sesuai untuk mereka yang berasal dari negeri Sabah dan Sarawak yang merindui kampung halaman mereka dan tidak dapat pulang untuk menyambut perayaan baru-baru ini. Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan semoga panjang umur dan beroleh kesihatan yang baik kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak yang menyambut perayaan ini.”

Destination GOOD adalah sebuah butik perusahaan sosial dari AirAsia Foundation yang bertempat di Kuala Lumpur yang menjual lebih 400 jenis barangan yang dihasilkan secara beretika daripada lebih 50 buah perusahaan sosial di seluruh rantau Asean.  Selain jualan, Destination GOOD juga bertujuan untuk menjadi sebuah lokasi bagi memupuk kerjasama antara usahawan sosial Asean dan perusahaan berasaskan komuniti.