airasia grocer lancar inisiatif We-Beleaf Together bermula di Sabah

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap perubahan iklim, kelestarian makanan dan pengeluaran dan penggunaan hasil segar yang bertanggungjawab

KOTA KINABALU, 19 Februari 2022 - airasia grocer, platform barangan runcit dalam talian, bersama-sama Kelab Belia Prihatin (KBP) melancarkan inisiatif We-Beleaf Together (WBT) bermula di Kota Kinabalu, Sabah hari ini. 

Diterajui oleh KBP, inisiatif ini akan bekerjasama dengan belia di seluruh Malaysia sejumlah 5,500 sukarelawan dan 11,000 kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun untuk mewujudkan kesedaran terhadap perubahan iklim, kelestarian makanan dan pengeluaran dan penggunaan hasil segar yang bertanggungjawab.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, airasia grocer akan menyediakan benih sawi bunga dan sawi serta anak pokok jambu dan pisang untuk aktiviti penanaman di Tabika Perpaduan Kepayan Barat, Tabika Perpaduan Ridge Kepayan, Tabika Perpaduan Taman Jumbo, Tabika Perpaduan Terawi dan Tabika Perpaduan Ramayah di Sabah. Dengan menyediakan benih dan anak pokok, airasia grocer dan KBP berusaha untuk mendidik pelajar tentang aspek pertumbuhan pokok tersebut dan mewujudkan iklim yang lebih sihat, lebih stabil, serta memberi inspirasi kepada mereka untuk mengambil tindakan positif terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Inisiatif tersebut telah dilancarkan oleh YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah; Lalitha Sivanaser, Ketua Pegawai Operasi airasia grocer; serta sukarelawan Kelab Belia Prihatin dari Universiti Malaysia Sabah.

YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata: “Saya berbesar hati untuk melihat sektor swasta seperti airasia terus menyokong Sabah dalam menekankan ekonomi hijau dan pertumbuhan mampan, sejajar dengan aspirasi dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan keperluan alam sekitar dan keselamatan makanan Sabah dipenuhi dalam jangka masa panjang.

“Saya juga berharap inisiatif ini dapat membuka pasaran produk Sabah kepada dunia, seterusnya memacu pertumbuhan kepada rakyat.”

Ketua Pegawai Operasi airasia grocer, Lalitha Sivanaser berkata: “Pelancaran projek ini di Sabah amat bermakna untuk airasia. Dari segi sejarah, kami telah bekerjasama rapat dan mengekalkan hubungan positif dengan negeri Sabah dengan matlamat utama untuk membantu menyumbang ke arah pembangunan rakyat Sabah melalui pelbagai inisiatif perjalanan, logistik, e-dagang dan pertanian.

“Memupuk kesedaran pertanian, terutamanya pada usia muda adalah amat penting bagi kami. Kami percaya bahawa dengan pendidikan yang tepat dan struktur sokongan berterusan, kami akan dapat memulihkan minat dalam pertanian di kalangan belia.

“Kami juga berusaha untuk menyeimbangkan hubungan dengan alam sekitar. Setelah menyaksikan kesan buruk berikutan perubahan iklim, kami berharap melalui pendidikan, generasi Malaysia akan datang dapat membawa penyelesaian dan transformasi ke arah kelestarian alam sekitar dan makanan.” 

***

Mengenai airasia grocer

airasia grocer (dahulunya dikenali sebagai airasia farm) telah dilancarkan pada bulan Jun 2020 sebagai platform e-dagang perniagaan-ke-perniagaan (B2B) baharu. Platform ini ditubuhkan untuk membolehkan para petani berhubung terus dengan perniagaan tanpa orang tengah, menyediakan sokongan logistik dan meluaskan jangkauan pasaran. Sejak itu, airasia grocer sejak telah berkembang untuk turut menyokong model perniagaan-ke-pengguna (B2C). Kini, para pengguna boleh membeli hasil segar dari ladang dan pelbagai barangan runcit yang dihantar dalam hari atau pesanan yang sama.