AirAsia Group Berhad umum ahli perniagaan dan pakar penggabungan dan pengambilalihan Dr Stanley Choi sebagai pemegang saham penting

Dr Stanley Choi Chiu Fai

Dr Stanley Choi Chiu Fai

SEPANG, 25 Februari 2021 - AirAsia Group Berhad mengumumkan Dr Stanley Choi Chiu Fai sebagai pemegang saham penting kumpulan syarikat melalui entiti milik penuhnya Positive Bloom Ltd pada 18 Februari 2021. Beliau memperoleh 167.1 juta saham AirAsia melalui tahap pertama penempatan swasta, meningkatkan pegangan sahamnya dalam kumpulan itu kepada 332.5 juta saham bersamaan dengan 8.96 peratus.

Dr Stanley Choi adalah Pengerusi Head & Shoulders Financial Group, dan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif International Entertainment Corporation (IEC), sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong (1009.HK). Beliau juga merupakan satu-satunya ahli pengasas bersama dari Hong Kong bagi YunFeng Capital - sebuah syarikat ekuiti swasta yang ditubuhkan pada tahun 2010 oleh sekumpulan usahawan dan pemimpin industri berpengaruh, yang dinamakan sempena pengasas bersamanya Jack Ma, pengasas Kumpulan Alibaba, dan David Yu, pengasas Target Media.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Target Insurance (Holdings) Limited (kod saham: 6161) dari tahun 2014 hingga 2019, Pengarah ZhongAn Online P&C Insurance Co. Limited (kod saham: 6060) dari tahun 2013 hingga 2016, dan Pengarah Eksekutif Media Asia Group Holdings Limited (kod saham: 8075) dari tahun 21011 hingga 2015.

Dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya, beliau memiliki pengalaman lebih dari 20 tahun dalam perkhidmatan kewangan dan projek penggabungan dan pengambilalihan, dengan tumpuan khusus pada pelaburan ekuiti swasta. Beliau juga merupakan pelabur tahap awal untuk Kidswant, sebuah syarikat permulaan dari China yang kini menjadi peruncit produk ibu, bayi dan kanak-kanak terkemuka di China bernilai lebih daripada USD3 bilion.

Dr. Stanley Choi, Pengerusi Head & Shoulders Financial Group berkata: “Saya berasa sukacita  untuk menjadi salah seorang pemegang saham penting dalam AirAsia Group - syarikat tambang rendah terbaik dunia dan salah satu jenama yang paling terkenal di Asia yang kini turut menjalankan perniagaan digital. Saya percaya cabaran terburuk dalam sejarah industri penerbangan kini telah berlalu. Saya yakin perjalanan udara akan pulih dan di bawah kepimpinan Tan Sri Tony dan Datuk Kamarudin, serta pelaksanaan vaksin di seluruh Malaysia, AirAsia mempunyai masa depan yang amat cerah. Saya berharap dapat bekerjasama dengan semua orang di AirAsia.”

Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif AirAsia Group berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menyambut Dr Stanley Choi sebagai pemegang saham strategik AirAsia Group. Beliau mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dan reputasi yang kukuh sebagai seorang ahli perniagaan berjaya kepada kumpulan kami. Kami yakin bahawa beliau dapat menambah nilai dalam pengembangan perniagaan digital kami di China melalui pengalaman dan jaringan yang luas dengan pemain-pemain digital terkemuka di negara tersebut.”

“Sebagai pengerusi salah sebuah syarikat terbesar di Hong Kong, Dr Stanley mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam perniagaan pelaburan dan sebagai ahli YunFeng Capital, beliau bukan sahaja membuka akses yang besar kepada beberapa perniagaan utama di China, malah membuka peluang untuk kerjasama sinergi dengan negara-negara Asean.”

Dr Stanley Choi merupakan graduan Ijazah Sarjana Sains dari University of Illinois di Urbana Champaign, Amerika Syarikat pada tahun 1996. Pada tahun 2013, beliau memperoleh Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan dari City University of Hong Kong.

Malaysia, News, EnglishM ASepang