AirAsia hargai media Malaysia dengan tawaran diskaun eksklusif 50% untuk tambang penerbangan ke 57 destinasi ASEAN sempena HAWANA 2025

Syarikat penerbangan itu turut umumkan rekaan pesawat khas sebagai penghormatan kepada wartawan Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Jun 2025 – AirAsia dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, menawarkan diskaun eksklusif sebanyak 50 peratus ke atas tambang asas bagi penerbangan pergi dan balik* ke 57 destinasi seluruh ASEAN kepada semua ahli media Malaysia yang berdaftar, bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.

Inisiatif ini bukan sahaja mengiktiraf peranan penting pengamal media dalam pembinaan negara, malah merupakan tanda penghargaan atas dedikasi berterusan mereka dalam menyampaikan berita yang memberi impak kepada masyarakat. Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, AirAsia amat menghargai sumbangan pengamal media dalam merakam perjalanan pertumbuhan syarikat dan menyampaikan kisahnya ke seluruh dunia.

Selaras dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, tawaran ini turut menyokong matlamat memperkukuh perpaduan serantau, keterhubungan dan pertukaran budaya. Dengan hampir satu bilion tetamu yang telah diterbangkan dan salah satu rangkaian paling meluas di rantau ini, AirAsia kekal komited untuk memudahkan akses merentas Asean sambil menyokong mereka yang membantu membentuk naratif dan meningkatkan kefahaman antara negara jiran.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata: “Semasa kami bermula 23 tahun lalu dengan hanya dua pesawat dan sebuah impian, para pengamal medialah yang memberi kami suara. Anda menyampaikan kisah kami, mencabar kami, meraikan kejayaan kami, dan terus bersama kami di saat paling sukar. Kami telah menjadikan penerbangan lebih inklusif daripada menerbangkan 200,000 tetamu pada tahun pertama kepada hampir satu bilion hari ini dan semua ini adalah hasil daripada sokongan anda. Inisiatif ini turut meraikan usaha bersama dengan Kementerian Komunikasi dalam menghargai peranan kewartawanan dalam pembinaan negara. Tanda penghargaan ini bukan sahaja dari AirAsia, tetapi dari saya kepada anda, wira yang tidak didendang di sebalik tajuk utama.”

Pada masa yang sama, AirAsia turut mengumumkan rekaan pesawat khas sebagai penghormatan kepada beberapa wartawan Malaysia yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap media negara dan memperjuangkan naratif nasional sepanjang dekad. Penghormatan ini mencerminkan penghargaan tulus syarikat penerbangan ini terhadap impak berterusan kewartawanan tempatan dan menjadi simbol hubungan erat antara media dan rakyat yang mereka wakili. Rekaan pesawat ini dijadualkan untuk dilancarkan menjelang hujung tahun ini.

*Maklumat lanjut mengenai diskaun eksklusif ini akan dimaklumkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).