AirAsia hubungkan Singapura ke 12 bandar di India melalui perkhidmatan Fly-Thru

SINGAPURA, 19 Februari 2024 - Sempena meraikan sambutan dua dekad perkhidmatan AirAsia di Singapura baru-baru ini, syarikat penerbangan ini bersedia untuk meningkatkan pengalaman perjalanan para tetamu dengan menghubungkan Kota Singa ke 12 bandar di India melalui perkhidmatan sambungan penerbangan Fly-Thru.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Singapura, Logan Velaitham berkata: "Kami berbesar hati untuk menawarkan perjalanan dengan tambang bernilai hebat antara Singapura dan India sempena meraikan dua dekad perkhidmatan kami di Singapura baru-baru ini. Pengembangan laluan ke India merupakan salah satu fokus utama Kumpulan kami pada tahun ini berdasarkan peningkatan permintaan. Melalui perkhidmatan Fly-Thru, kami dapat menghubungkan para pengembara dari Singapura ke India dan lebih jauh lagi dalam rangkaian luas AirAsia ke lebih 130 destinasi melalui Kuala Lumpur dan Bangkok (Don Mueang) tanpa perlu mendaftar masuk bagasi semula.

"Singapura dan India memiliki hubungan kukuh dalam pelbagai industri seperti pelancongan, ekonomi, politik dan budaya. Singapura merupakan rakan dagang kelapan terbesar di India dan berperanan sebagai laluan penting bagi perniagaan dari India yang ingin berkembang ke Asia Tenggara, manakala India turut menawarkan pelbagai peluang kepada Singapura dalam bidang teknologi dan inovasi. Permintaan untuk aktiviti pelancongan antara kedua-dua destinasi ini adalah tinggi dan kami berharap untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara ini melalui perkhidmatan Fly-Thru serta pengembangan rangkaian pada masa yang akan datang.”

Untuk terus menyokong industri pelancongan antara Singapura dan India, AirAsia menawarkan Tempat Duduk PERCUMA* dari Singapura ke empat destinasi** di India iaitu Visakhapatnam, Jaipur, Trivandrum dan Ahmedabad. Para tetamu yang ingin menerokai keindahan India boleh menempah dengan tambang promosi bermula SGD173** termasuk semua sehala melalui transit di Kuala Lumpur atau tambang promosi bermula SGD223*** termasuk semua sehala melalui transit di Bangkok (Don Mueang). Tambang promosi ini boleh ditempah mulai 19 Februari hingga 25 Februari 2024 untuk tempoh perjalanan antara 1 September 2024 dan 18 Jun 2025.

AirAsia kini terbang ke 12 destinasi di seluruh India. Para tetamu kini boleh melakukan perjalanan dari Singapura ke Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, New Delhi, Amritsar, Trivandrum (bermula 21 Februari 2024), Jaipur (bermula 21 April 2024), Visakhapatnam (bermula 26 April 2024) dan Ahmedabad (bermula 1 Mei 2024) menggunakan perkhidmatan Fly-Thru melalui Kuala Lumpur. Para tetamu juga boleh terbang melalui Bangkok (Don Mueang) ke Bengaluru, Kolkata, Kochi, Jaipur, Chennai, Lucknow, Ahmedabad, Gaya, Guwahati dan Visakhapatnam.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, ikuti @flyairasia.sin di Instagram.

*Promosi Tempat Duduk PERCUMA adalah untuk tambang asas sahaja dan tidak termasuk cukai lapangan terbang, caj bahan api dan yuran lain yang berkenaan.

**Laluan yang dinyatakan adalah menggunakan perkhidmatan Fly-Thru melalui Kuala Lumpur atau Bangkok (Don Mueang). Tertakluk pada terma dan syarat lain.

***Promosi tambang termasuk semua sehala adalah termasuk cukai lapangan terbang, caj bahan api dan yuran lain yang berkenaan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.