AirAsia jalankan aktiviti pembersihan terumbu karang dan pantai sempena ‘International Coastal Cleanup 2019’

Kenyataan gambar: AirAsia Allstars dari seluruh Asean membersihkan sebanyak 151kg sampah di persisiran Pantai Sura di Kuala Dungun, Terengganu

Kenyataan gambar: AirAsia Allstars dari seluruh Asean membersihkan sebanyak 151kg sampah di persisiran Pantai Sura di Kuala Dungun, Terengganu

SEPANG, 24 September 2019 - AirAsia dengan kerjasama Project AWARE dan Viking Scuba Tenggol telah menjalankan aktiviti pembersihan terumbu karang dan pantai di Terengganu, Malaysia bersempena dengan International Coastal Cleanup Day pada 21 September.

Seramai 40 kakitangan AirAsia (Allstars) melibatkan diri untuk mengurangkan pencemaran bawah air, sekaligus mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi terhadap kepentingan memelihara lautan dan kesan buruk penggunaan plastik sekali guna, sebagai salah satu inisiatif serantau #AllstarsDoGood AirAsia.

Kesemua kakitangan Allstars yang merupakan penyelam skuba dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina telah membersihkan sebanyak 40kg pukat hantu dari lokasi selam di Pulau Tenggol. Mereka juga telah mengumpul sebanyak 151kg sampah di persisiran Pantai Sura di Kuala Dungun. 

#AllstarsDoGood merupakan sebuah inisiatif kakitangan yang ditubuhkan oleh Jabatan People and Culture AirAsia. Ia bertujuan untuk menggalakkan kakitangan dalam menyertai aktiviti sukarelawan. Sehingga kini, sebanyak 8,712 jam kerja sukarelawan telah direkodkan dari pelbagai inistiatif #AllstarsDoGood di serantau Asean sejak tahun 2017.

Ketua Pegawai Culture Kumpulan AirAsia Attila Emam berkata, “Ini merupakan kali ketiga projek pembersihan terumbu karang dan pantai di bawah inisiatif #AllstarsDoGood diadakan selepas Pattaya dan Batangas, dan dijalankan untuk kali pertama di Malaysia. Sebagai syarikat penerbangan yang membawa ramai penumpang ke destinasi-destinasi pulau dan pantai yang cantik di seluruh rantau, kami ingin memastikan bahawa kami menjalankan usaha kami dalam mendidik komuniti tentang kepentingan menjaga destinasi-destinasi ini.

“Kami teruja untuk berkongsi bahawa ketiga-tiga lokasi selam yang kami lawati di Pulau Tenggol agak bersih. Namun, sebanyak 95% bendasing yang kami kumpul di pesisiran Pantai Sura adalah plastik sekali guna, terutamanya bungkusan makanan. Pesisiran Pantai Sura merupakan tempat istirehat popular di kalangan masyarakat Dungun dan hampir kesemua sampah dijumpai di celah batu-batu. Bayangkan sebanyak 151kg sampah dikutip dalam masa sejam, dan masalah itu boleh diselesaikan dengan hanya membuang sampah tersebut ke tempat yang betul. Kami telah menghantar data pembersihan pantai kepada platform Ocean Conservancy, sementara data pembersihan terumbu karang telah dilaporkan dalam laman web Project AWARE,” tambahnya.

AirAsia mempunyai seramai 25,000 Allstars dan menjalankan program sukarelawan kakitangan #AllstarsDoGood secara aktif di seluruh rantau.


Malaysia, News, EnglishM ASepang