AirAsia jangka lancar lebih 30 laluan baharu pada tahun 2025, tingkatkan sambungan serantau dan Fly-Thru

SEPANG, 25 Mac 2025 – AirAsia Aviation Group (“AirAsia” atau “Kumpulan”) bakal memperkenalkan lebih 30 laluan baharu pada tahun 2025 sejajar dengan pemulihan penuh operasinya. Langkah ini sekaligus memperkukuh sambungan domestik dan Asean serta memacu kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di rantau ini.

Dengan proses pengambilalihan AirAsia oleh AirAsia X Berhad daripada Capital A Berhad yang hampir selesai, gabungan syarikat penerbangan jarak dekat dan jarak sederhana di bawah satu kumpulan penerbangan yang lebih besar akan terus memperkukuh kedudukannya dalam industri, dengan rangkaian dan sinergi operasi yang lebih mantap.

Sebagai langkah membina masa depan yang lebih mampan, AirAsia pada tahun 2025 akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kepimpinan kos, pengoptimuman rangkaian dan kekerapan penerbangan, serta peningkatan prestasi operasi di pasaran utama termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja. Usaha ini bertujuan menyokong pertumbuhan ke destinasi permintaan tinggi seperti India, China dan seluruh Asean.

Pengoptimuman rangkaian dijangka selesai pada suku kedua tahun 2025, di mana peningkatan kekerapan penerbangan ke laluan dengan permintaan tinggi akan bermula dalam tempoh yang sama. Kumpulan ini juga sedang menilai laluan baharu bagi memenuhi permintaan perjalanan dalam Asia yang semakin meningkat, didorong oleh inisiatif pelonggaran visa di pasaran utama seperti China, India, Thailand dan Malaysia, selari dengan trend perjalanan semasa.

Baru-baru ini, AirAsia Malaysia telah mengumumkan laluan baharu ke Australia, dengan empat penerbangan mingguan ke Darwin bermula 27 Jun 2025, menjadikannya syarikat penerbangan pertama di rantau ini yang menawarkan sambungan terus antara Kuala Lumpur dan Darwin. AirAsia Indonesia juga meraikan penerbangan sulung dari Bali ke Darwin pada 22 Mac 2025, sekali gus memperkukuh hubungan Wilayah Utara Australia dengan Asean.

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group berkata: “Pada tahun 2025, sempena pemulihan kapasiti sepenuhnya, kami akan mengimbangi pertumbuhan dan keuntungan. Strategi rangkaian kami akan memberi keutamaan kepada sambungan strategik berasaskan permintaan di seluruh Asia. Dengan lebih 30 laluan baharu dan peningkatan kekerapan pada perkhidmatan paling popular kami, kami bertindak berdasarkan permintaan pasaran dan peluang perkhidmatan Fly-Thru. Trafik Fly-Thru kami telah mencecah 4.3 juta pada tahun 2024, dan kami mesasarkan lebih tujuh juta tetamu Fly-Thru pada tahun ini, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada jumlah penumpang keseluruhan. Pertumbuhan ini disokong oleh pengaktifan semula 16 pesawat serta penghantaran 14 pesawat baharu pada 2025 yang menjadi keutamaan kepada pelan pengembangan kami.

“Hab mega kami di Kuala Lumpur (KUL) dan Bangkok-Don Mueang (DMK) akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan perkhidmatan Fly-Thru, yang kini mengendalikan 95 peratus trafik Fly-Thru. Pada masa yang sama, kami akan memperluas hab lain dan menjangkakan untuk menambah lebih 1,700 penerbangan pergi balik mingguan dan 323,336 tempat duduk mingguan merentasi Kumpulan menjelang akhir tahun 2025.”

Pada tahun ini, AirAsia menjangka akan mengendalikan sebanyak 234 pesawat lorong tunggal merentasi lima syarikat penerbangan jarak dekatnya, sekali gus memulihkan kapasiti penuh pra-pandemik. Hanya baki 16 pesawat bakal diaktifkan semula, manakala 14 penghantaran pesawat baharu telah disahkan untuk 2025, empat daripada Airbus dan 10 melalui syarikat penyewa pesawat.

Komitmen AirAsia dalam membina hab mega dan memperluas perkhidmatan Fly-Thru menyokong visinya untuk menjadi syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah global yang menghubungkan Asean ke dunia dan dunia ke Asean.