AirAsia kekal sebagai syarikat penerbangan tambang rendah pilihan serantau di World Travel Awards Asia 2025

Kemenangan berganda yang dipacu oleh AirAsia Allstars terhadap pelanggan dan kecemerlangan kru kabin

HONG KONG, 14 Oktober 2025 – AirAsia meraih pengiktirafan pada majlis Anugerah Pelancongan Dunia Asia dan Oceania 2025 yang berlangsung di Hong Kong malam tadi, selepas dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Asia buat kali ketiga belas dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Asia selama sembilan tahun berturut-turut dan ia merupakan satu pencapaian hasil dariapda kepercayaan dan sokongan berterusan daripada jutaan pengembara di seluruh rantau ini.

Sejak penubuhannya, AirAsia telah menerbangkan hampir satu bilion para tetamu dan terus mentakrifkan semula pengalaman perjalanan melalui rangkaian luasnya merangkumi lebih 130 destinasi di seluruh Asia, Australia dan seterusnya, serta inovasi perkhidmatan yang berterusan. Melangkah ke hadapan, syarikat penerbangan ini merancang untuk mengembangkan operasinya ke koridor pertumbuhan baharu di Timur Tengah dan Asia Tengah sebagai sebahagian daripada aspirasinya untuk menjadi syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah terkemuka di dunia.

Menerusi ekosistem digitalnya yang menyeluruh, AirAsia terus mempertingkatkan pengalaman perjalanan penumpang dari awal hingga akhir melalui aplikasi AirAsia MOVE, sebuah platform digital yang membolehkan para tetamu menempah penerbangan, mengurus perjalanan, menikmati daftar masuk secara kendiri yang lancar dan melalui proses menaiki pesawat tanpa sentuhan. Pengenalan Auto Visa Check turut memudahkan lagi proses perjalanan. Bersama dengan peluasan laluan dan pengalaman dalam penerbangan yang lebih terperinci, inovasi-inovasi ini membuktikan usaha berterusan AirAsia untuk menjadikan perjalanan lebih mudah, efisien dan mesra pengguna.

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group berkata: “Pengiktirafan ini adalah milik individu-individu yang menjadi nadi kepada pertumbuhan kami iaitu para tetamu serta lebih 21,000 Allstars kami yang mewakili 58 kewarganegaraan. Ramai di antara mereka telah bersama kami sejak awal penubuhan dan bersama-sama telah membina bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan, tetapi satu jenama yang percaya bahawa perjalanan harus dapat dinikmati oleh semua orang.  Kami akan terus memperluaskan rangkaian dan berkembang menjadi syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah bertaraf global, semangat kebersamaan, inovasi dan keprihatinan merupakan sumber inspirasi yang utama buat kami.”

Suhaila Hassan, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia berkata: “Saya amat berbangga dengan kru kabin kami di mana mereka ialah duta utama kami di pada setiap penerbangan. Pengiktirafan ini adalah milik setiap Allstar, kerana senyuman, tenaga dan keprihatinan merekalah yang membuat perbezaan yang sebenar. Kemenangan ini adalah satu penghargaan buat mereka dan semangat luar biasa yang terus mendefinisikan siapa diri kami.”

Graham E. Cooke, Pengasas World Travel Awards berkata: “Tahniah kepada AirAsia atas kemenangan berganda yang luar biasa ini dengan meraih ‘Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Asia 2025’ dan ‘Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Asia 2025’. Dedikasi pasukan AirAsia terhadap piawaian perkhidmatan yang cemerlang sememangnya tidak dapat dinafikan pada tahun ini dan kecemerlangan mereka selayaknya diiktiraf oleh para profesional industri serta pengembara di seluruh dunia.”

Selama lebih tiga dekad, World Travel Awards telah menjadi penanda aras kecemerlangan dalam industri pelancongan dan perjalanan global. Para pemenang dinilai melalui proses pengundian yang melibatkan para profesional industri pelancongan serta pengguna dari seluruh dunia, mencerminkan pengiktirafan rakan industri dan kepercayaan orang ramai. Pengiktirafan terbaharu ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan AirAsia sebagai peneraju dalam membentuk masa depan perjalanan tambang rendah dengan menggabungkan perluasan rangkaian, inovasi serta perkhidmatan berteraskan pengguna untuk menghubungkan lebih ramai orang dan destinasi-destinasi lain.