AirAsia lancar dua laluan baharu ke Pontianak sekaligus memperkukuhkan kehadiran di Kalimantan, Indonesia
KUCHING, 12 September 2025 – AirAsia (kod penerbangan AK) hari ini melancarkan dua laluan terus ke Pontianak, Indonesia yang menghubungkan wilayah Kalimantan Barat dengan Kuala Lumpur dan Kuching di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan dengan rangkaian terluas antara Malaysia dan Indonesia, serta menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau dan pertumbuhan ekonomi bersama.
Para tetamu penerbangan pertama dari Kuching ke Pontianak (AK1781) telah diraikan dengan majlis pelepasan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, YB Dato’ Sri Lee Kim Shin bersama Pemangku Konsul Jeneral Indonesia di Kuching iaitu Encik Musa Derek Sairwona, serta delegasi yang menaiki penerbangan tersebut untuk lawatan rasmi ke ibu kota Kalimantan Barat.
Manakala penerbangan AK1782 dari Pontianak telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching diraikan dengan persembahan kebudayaan bagi meraikan detik bersejarah ini. Para tetamu yang tiba dari Pontianak disambut oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, YB Datuk Snowdan Lawan; Timbalan Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Jamilah Binti Abdul Halim; CEO AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra dan CEO Sarawak Tourism Board, Puan Sharzede Salleh Askor bersama wakil daripada Malaysia Airports, Jabatan Kerajaan serta perwakilan pengurusan hospital swasta di Kuching.
Di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pula, para tetamu yang tiba dengan penerbangan pertama AK491 dari Pontianak disambut oleh Tourism Malaysia bersama pihak Pengurusan AirAsia.
Penerbangan AirAsia ini menandakan perkhidmatan antarabangsa pertama di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak, selepas status antarabangsanya dibuka semula pada Jun 2025. Satu majlis sambutan khas untuk para tetamu juga telah dianjurkan bersama oleh pihak berkuasa lapangan terbang Angkasa Pura Indonesia dan Dinas Perhubungan Provinsi Kalimantan Barat yang turut dihadiri Gabenor Kalimantan Barat Drs Ria Norsan dan Konsul Malaysia di Pontianak En Azizul Zekri Abdul Rahim.
YB Dato’ Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak berkata: “Saya amat berbesar hati kerana laluan Kuching-Pontianak kini kembali beroperasi selepas lima tahun. Sebelum ini perjalanan darat yang mengambil masa antara enam hingga lapan jam, para pengembara antara Kuching dan Pontianak kini boleh tiba di kedua-dua destinasi dalam masa kurang daripada sejam. Ini bukan sahaja satu pencapaian penting bagi industri penerbangan, malah membuktikan kekuatan sejarah, budaya dan kekeluargaan yang erat antara rakyat. Kesalinghubungan ini pastinya akan merancakkan sektor pelancongan, perniagaan serta mengukuhkan hubungan antara Sarawak dan Kalimantan Barat.”
YB Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata: “Saya berbangga dengan AirAsia kerana telah melancarkan laluan baharu ini yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak, malah kepada rakyat Malaysia. Dengan Sarawak berada di landasan untuk mencapai lima juta ketibaan pelawat tahun ini serta pendapatan pelancongan melebihi RM1 bilion setiap bulan, laluan baharu ini akan terus menyokong usaha kami menarik lebih ramai pengunjung yang mampu merancakkan lagi industri pelancongan. Ia juga selaras dengan visi kami untuk menjadikan Sarawak sebagai hab serantau bagi industri kreatif dan seni persembahan.”
Dato’ Kapten Fareh Mazputra, CEO AirAsia Malaysia berkata: “Selepas kejayaan pelancaran laluan baharu kami baru-baru ini ke Palembang dan destinasi lain, Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran terpenting bagi kami. Kami berbangga dapat menyambung semula Pontianak dengan Kuching dan Kuala Lumpur. Laluan ini bukan sahaja menawarkan lebih banyak kemudahan kepada tetamu kami, malah menawarkan lebih banyak peluang pelancongan dan perniagaan antara Malaysia dan Indonesia. Dengan rangkaian luas serta tambang mampu milik, AirAsia komited untuk memperkukuh hubungan antara negara jiran dan memacu pertumbuhan serantau.”
Puan Sharzede Salleh Askor, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board berkata: “Kami teruja dengan pemulihan semula kesalinghubungan udara antara Kuching dan Pontianak, yang sentiasa menjadi pasaran penting bagi Sarawak. Laluan ini bukan sahaja memudahkan perjalanan ke Kalimantan Barat untuk tujuan pelancongan, perubatan, pendidikan dan perniagaan, malah turut mengukuhkan lagi peranan kami sebagai pintu masuk ke Borneo. Dengan ketibaan pelancong antarabangsa ke Sarawak yang terus mencatatkan peningkatan tahun ini, kesalinghubungan tiba tepat pada masanya ini akan membantu menarik lebih ramai pengunjung dari Pontianak dan seterusnya, sambil mengetengahkan kekayaan budaya, keindahan alam semula jadi dan pengalaman pengembaraan unik yang kami tawarkan. Kami berharap dapat meneruskan momentum ini ketika bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.”
AirAsia Malaysia (AK) terus memperkukuh kesalinghubungan ke Indonesia dengan penerbangan ke 18 destinasi. Dari Kuala Lumpur, syarikat penerbangan ini kini beroperasi ke Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok, Palembang, Semarang dan Pontianak dengan Banjarmasin bakal bermula pada 20 Oktober 2025. AirAsia turut menghubungkan Kuching ke Pontianak, serta Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan, sekaligus mempertingkatkan lagi akses perjalanan antara Malaysia dan Indonesia.
Jadual Penerbangan antara Kuching (KCH) dan Pontianak (PNK):
Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Pontianak (PNK):