airasia lancar PPV di RedQ untuk mempercepat vaksinasi bagi kakitangan industri penerbangan
Menyokong program vaksinasi agresif yang dilancarkan di seluruh Malaysia dan Asean sebagai kunci untuk memulakan perjalanan udara
Sektor pelancongan dan ekonomi dijangka kembali meningkat
SEPANG, 30 Julai 2021 - airasia bersedia untuk kembali terbang dalam masa terdekat dan sebagai persediaan, telah melancarkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di ibu pejabatnya, RedQ di Malaysia bermula 30 Julai hingga 1 Ogos 2021.
Dalam usahanya untuk membantu mempercepat proses vaksinasi di kalangan kakitangan industri penerbangan, sekitar 2,500 Allstars bakal menerima vaksin melalui PPV airasia.
Program vaksinasi ini dapat melindungi kesejahteraan dan keselamatan Allstars dan rakan sekerja mereka dalam tempoh ini, sementara mereka bersedia untuk memulakan perjalanan udara dalam masa terdekat.
Proses vaksinasi akan dijalankan oleh petugas kesihatan profesional dari DOC2US, salah satu Rakan Penganjur Penjagaan Kesihatan (HCO) ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. Program ini turut disokong oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pengangkutan (MOT).
Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Momentum vaksinasi semakin meningkat di semua pasaran utama kami. Malaysia adalah antara negara Asean teratas dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai imuniti kelompok atau 80% populasi yang telah divaksin pada akhir tahun 2021 dan Thailand pula dijangka akan memvaksin sekitar 60% rakyatnya dan sekitar 50% di Filipina dan Indonesia pada akhir tahun ini.
“Amat penting untuk kita memastikan semua orang bekerjasama untuk meningkatkan kapasiti vaksinasi di seluruh negara dan membantu menangani virus ini. Dengan program vaksinasi agresif di Asean dan di seluruh dunia, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Kesatuan Eropah telah mula membuka kembali sektor ekonomi dan pelancongan mereka.”
Sektor-sektor ini juga dijangka akan kembali meningkat. Thailand telah membuka kembali laluan percutian untuk pelancong yang telah divaksin di bawah Phuket Sandbox dan program Samui Plus pada bulan ini dan AirAsia Filipina telah mula beroperasi secara beransur-ansur untuk mencapai hingga 16% kapasiti pra-Covid pada akhir bulan depan. Selain itu, majoriti Allstars di rantau ini juga telah divaksin atau mendaftar untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin dan semua kru operasi AirAsia dijangka akan divaksin apabila ia kembali beroperasi.
“Secara realistiknya, kita tidak perlu menunggu seluruh populasi divaksin untuk memulakan perjalanan udara kerana ramai pakar berpendapat bahawa kita hanya memerlukan sekitar 50% populasi yang telah divaksinasi untuk memulakan perjalanan. Dengan kadar vaksinasi harian yang kini melebihi 550,000 dan semakin meningkat di Malaysia, kita akan mencapai sasaran dalam masa terdekat. Dari apa yang kita lihat di peringkat antarabangsa, jika kita dapat mempercepat dan mencapai vaksinasi hingga 20-30%, kita akan dapat melihat penurunan kes dan meratakan lengkung secara dramatik,” kata Tan Sri Tony Fernandes.
Industri pelancongan menyumbang lebih daripada 15% kepada KDNK di Malaysia dan vaksin bukan sahaja merupakan kunci untuk perlindungan, malah akan memainkan peranan yang penting untuk memacu kembali sektor pelancongan dan ekonomi. Pada masa yang sama, vaksin juga membantu meringankan sekatan perjalanan domestik dan membuka semula sempadan antarabangsa secepat mungkin.
Jelas bahawa vaksin dan pemulihan berkaitan antara satu sama lain, seperti yang dibuktikan di Amerika Syarikat, Kanada, dan negara-negara Eropah yang telah mencapai kadar inokulasi yang tinggi. Sebagai contoh, di AS, ekonomi akan dibuka sepenuhnya tidak lama lagi dan lalu lintas udara juga bertambah baik seiring dengan pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur dan program vaksinasi.
“Saya yakin bahawa kita akan mempunyai jumlah populasi yang telah divaksin secukupnya dan dapat mencari penyelesaian pasport kesihatan antarabangsa, menerusi salinan bercetak dalam jangka masa pendek atau digital dalam jangka masa panjang. Apa yang pasti, sektor ekonomi dan pelancongan di Asean akan kembali kukuh pada akhir tahun 2021 dan di peringkat antarabangsa pada awal tahun 2022.
Tony juga tetap optimis mengenai masa depan airasia yang kini merupakan syarikat gaya hidup digital berpaksikan perjalanan. airasia bukan lagi sekadar sebuah syarikat penerbangan dan mula melihat beberapa pesaing utama mengambil perhatian dan mengikuti jejak langkahnya yang membuktikan pencapaian syarikat dalam masa 18 bulan yang lepas.
Selain meletakkan dasar di landasan yang tepat untuk masa depan dan kejayaan syarikat penerbangannya, transformasi airasia sebagai Asean Super App juga memberikan momentum besar dan hasil yang kukuh di semua platform digital, seterusnya mendahului pesaing-pesaingnya untuk menjadi lebih kuat dan berdaya tahan pasca Covid-19.
“Penantian akan berakhir dan kami akan pulih dengan lebih kuat. Walaupun kami telah berubah menjadi sebuah syarikat digital dan penerbangan, satu perkara yang kekal adalah komitmen kami kepada orang ramai. Program vaksinasi ini bukan hanya untuk kakitangan industri penerbangan kami, malah untuk rakan penghantar yang juga merupakan Allstars. Kami berharap untuk kembali memacu sektor pelancongan di pasaran utama kami dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan apabila kami kembali memulakan operasi,” tambah Tan Sri Tony Fernandes.