AirAsia lancar pusat teknologi baharu di Lembah Silikon India

Keterangan Gambar: (Dua dari kiri) Ketua Pegawai Produk AirAsia Nikunj Shanti, Ketua Kumpulan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi AirAsia Elias Vafiadi, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India Sunil Bhaskaran dan Ketua Kejuruteraan…

Keterangan Gambar: (Dua dari kiri) Ketua Pegawai Produk AirAsia Nikunj Shanti, Ketua Kumpulan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi AirAsia Elias Vafiadi, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India Sunil Bhaskaran dan Ketua Kejuruteraan Perisian AirAsia Anshul Goswami di majlis pelancaran Pusat Teknologi AirAsia di bengaluru, India hari ini.

BENGALURU, 28 Februari 2019 - AirAsia hari ini telah melancarkan sebuah pusat teknologi baharu di Bengaluru, India, selari dengan misinya untuk menjadi sebuah syarikat teknologi perjalanan.

Terletak di ruang kerja bersama syarikat-syarikat berteknologi tinggi lain di Lembah Silikon India, pusat tersebut menempatkan sekitar tiga puluh lima orang kakitangan di bawah pasukan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi AirAsia (AASET), yang ditugaskan untuk mereka bentuk dan membangunkan penyelesaian khusus untuk perniagaan penerbangan dan perniagaan lain AirAsia.

Selain itu, mereka juga akan menyelaraskan aset digital syarikat penerbangan tersebut seperti airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia, di samping mencipta dan melancarkan produk dan ciri-ciri baharu seperti AVA, chatbot baharu yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar kepada para tetamu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Teknologi dan Digital) Aireen Omar berkata, “India adalah sebuah negara yang mempunyai sumber inovasi dan teknologi yang canggih, serta menawarkan potensi pertumbuhan yang besar kepada kami untuk membangunkan sebuah ekosistem teknologi perjalanan yang menyeluruh. Justeru, kami amat teruja untuk memperluaskan jaringan kami di India melalui pelancaran pusat teknologi baharu ini.

“Kami juga berharap untuk terus membangunkan pasukan kami yang terdiri daripada jurutera perisian, pakar analisis dan pasukan pembangunan produk di rantau ini.”

Pusat teknologi baharu ini adalah salah satu daripada beberapa inisiatif global AirAsia untuk memacu transformasinya kepada sebuah syarikat digital. Baru-baru ini, AirAsia telah melancarkan beberapa ciri-ciri digital baharu pada aplikasi mudah alihnya seperti carian penerbangan menggunakan peta digital dan sokongan bantuan suara yang memberikan pengalaman yang lebih lancar dan mesra pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India Sunil Bhaskaran berkata, “Pelancaran pusat teknologi baharu AirAsia ini menandakan komitmen syarikat penerbangan ini untuk membangunkan teknologi bertaraf dunia di India.

“Ini kerana tenaga kerja yang mahir di India boleh menangani keperluan pasaran global dan pada masa yang sama menambah nilai dalam industri ICT India dan membantu untuk mengukuhkan ekosistem industri tersebut.”

Pusat tersebut telah dilancarkan secara rasmi pada hari ini oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India Sunil Bhaskaran, Ketua Pegawai Produk AirAsia Nikunj Shanti dan Ketua Kumpulan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi AirAsia Elias Vafiadis.

Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia), Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Instagram (instagram.com/AirAsia). Untuk memulakan kerjaya anda dengan AirAsia, layari careers.airasia.com.

News, Malaysia, EnglishM ABengaluru