AirAsia Malaysia perluas rangkaian di Australia dengan pelancaran laluan baharu ke Darwin

Terbang terus dari Kuala Lumpur ke Darwin dengan tambang termasuk semua* sehala  bermula daripada RM299*

Keterangan Gambar: Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia bersama-sama Robyn Cahill OAM, Menteri Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Asia Wilayah Utara Australia di majlis pelancaran laluan Kuala Lumpur-Darwin oleh AirAsia Malaysia hari ini di Lapangan Terbang Darwin.

DARWIN, 17 Mac 2025 - AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) mengumumkan pengembangannya ke Australia dengan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Darwin, Australia. Pelancaran laluan ini memperkukuh komitmennya dalam mempertingkatkan kesalinghubungan antarabangsa dari Malaysia.

Bermula 27 Jun 2025, para pengembara bakal mempunyai lebih banyak pilihan penerbangan dengan tambang berpatutan untuk menerokai Wilayah Utara Australia dengan empat penerbangan mingguan. Darwin merupakan pintu masuk untuk menerokai pemandangan semula jadi menakjubkan, pengembaraan mengujakan dan pengalaman budaya. Bandar ini menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua. Lihat matahari terbenam yang memukau di Pantai Mindil, hidupan liar di Crocosaurus Cove dan keindahan Taman Negara Kakadu, serta tapak Warisan Dunia UNESCO berkembar yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya dan budaya Orang Asli.

AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) terus mengembangkan kehadirannya di pasaran Australia. Sejak bulan Mac 2024, syarikat penerbangan ini mula terbang ke Australia buat pertama kali dengan laluan antara Kuala Lumpur dan Perth. Laluan itu menyokong perkhidmatan syarikat penerbangan jarak sederhana, AirAsia X (kod penerbangan D7) yang turut mengendalikan laluan tersebut berikutan permintaan tinggi. Kumpulan AirAsia (Malaysia dan Indonesia) kini beroperasi di Perth dan Cairns, manakala AirAsia X terbang ke Melbourne, Sydney dan Perth. Secara keseluruhannya, AirAsia terbang di empat bandar di Australia dan pembukaan laluan Darwin bermula 22 Mac 2025 dari Bali serta 27 Jun 2025 dari Kuala Lumpur, menjadikannya destinasi kelima di negara ini.

Pada tahun lalu, syarikat penerbangan ini telah menerbangkan lebih daripada 600,000 para tetamu antara kedua-dua negara. Laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Darwin ini memperkukuh lagi komitmen AirAsia dalam merancakkan sektor pelancongan antara Malaysia dan Australia. Pencapaian ini menandakan langkah penting dalam pengembangan antarabangsa syarikat ini, sekali gus merangsang industri pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Robyn Cahill OAM, Menteri Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Asia berkata: “Kami mengalu-alukan pencapaian penting ini oleh AirAsia untuk menghubungkan Darwin dengan ibu kota  Kuala Lumpur. Ini bukan sahaja akan meningkatkan kesalinghubungan dan kemampuan perjalanan udara bagi penduduk Wilayah Utara di sini, malah memudahkan pelaburan, lawatan dan urusan perniagaan di wilayah ini.

“AirAsia sentiasa diiktiraf sebagai salah satu syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, jadi keputusan mereka untuk beroperasi di Darwin berharap dapat memacu masa depan ekonomi kami yang cerah. Ketersambungan udara adalah keutamaan bagi Wilayah Utara dan kini kami akan memberi tumpuan untuk bekerjasama dengan semua rakan industri penerbangan bagi memastikan setiap penerbangan mencapai hasil komersial yang kukuh.

“Pelancaran laluan ini jelas membuktikan bahawa kami terbuka untuk peluang perniagaan dan berada dalam kedudukan yang baik untuk memajukan perdagangan, pelaburan dan perkongsian strategik di Asia Tenggara."

Dato’ Captain Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami berbesar hati untuk melancarkan laluan ke Darwin di mana ia menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong dan perniagaan untuk menerokai salah satu destinasi paling meriah dan unik di Australia. Pada masa yang sama, kami juga membuka pintu baharu ke Asia dan destinasi lain untuk penduduk Wilayah Utara Australia.

"Seiring dengan pertumbuhan populariti pelancongan pengembaraan, kami melihat Darwin sebagai destinasi yang mempunyai potensi bagi rakyat Malaysia dan pelancong di seluruh Asia Tenggara untuk mengalami perjalanan unik di luar destinasi pelancongan biasa. Dengan perkhidmatan Fly-Thru melalui Kuala Lumpur, Darwin kini lebih mudah diakses untuk pelancong dari pasaran utama dalam rangkaian kami, termasuk Thailand, India, Sri Lanka, Filipina, China, Kemboja, Korea Selatan dan banyak lagi.

"Komitmen kami untuk meningkatkan kesalinghubungan di pasaran utama seiring dengan matlamat untuk menawarkan pilihan perjalanan berpatutan dan menjadikan Asia lebih mudah diakses oleh semua. Kami amat menghargai sokongan daripada pihak kepentingan, termasuk kerajaan dan pihak berkuasa lapangan terbang dalam memperkukuh peluang pelancongan antara kedua-dua bandar ini. Kami berharap dapat mengembangkan kehadiran kami dan membawa perkhidmatan bertaraf dunia ke destinasi menarik di Australia ini."

Rob Porter, Pengurus Besar Eksekutif Lapangan Terbang bagi Kumpulan Pembangunan Lapangan Terbang mengalu-alukan kehadiran AirAsia Malaysia dan menyatakan bahawa perkhidmatan ini merupakan kejayaan besar bagi Wilayah Utara. “Kami teruja untuk menyambut AirAsia Malaysia ke Darwin, sekali gus memulihkan hubungan tambang rendah yang amat diperlukan antara Wilayah Utara dan Asia. Laluan ini secara langsung memenuhi permintaan daripada komuniti kami yang telah lama mengharapkan lebih banyak pilihan perjalanan mampu milik ke destinasi utama seperti Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina, dan India.

"Selain menawarkan lebih banyak pilihan kepada penduduk Wilayah Utara, laluan baharu ini juga akan memperkukuh pelancongan ke dalam negeri, menyokong perniagaan tempatan dan memantapkan kedudukan Darwin sebagai pintu masuk antarabangsa utama. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan AirAsia untuk mengembangkan perkhidmatan ini dan meneroka peluang pengembangan pada masa hadapan."

Suzana Bishop, Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Kerajaan Wilayah Utara berkata: “Kami teruja untuk menyambut AirAsia Malaysia sebagai sebahagian daripada rangkaian penerbangan Darwin yang semakin berkembang, menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong antarabangsa untuk menerokai Wilayah Utara Australia.

“Pelancaran laluan AirAsia Malaysia ke Darwin menawarkan peluang unik kepada pelancong untuk merasai sendiri keindahan landskap ikonik Wilayah Utara, warisan budaya dan pengalaman tempatan yang unik. Dari taman negara yang menakjubkan dan keunikan kehidupan liar hingga pengalaman di sebelah malam yang mengujakan, pembukaan laluan baharu ini pasti menawarkan pelbagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pasaran Asia yang sedang berkembang.”

Bagi meraikan pelancaran laluan ini, AirAsia menawarkan tambang promosi istimewa dengan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Darwin bermula serendah RM299 termasuk semua* sehala, manakala penerbangan dari Darwin ke Kuala Lumpur bermula daripada AUD189* termasuk semua* sehala.

Semua penerbangan kini tersedia untuk tempahan mulai hari ini hingga 30 Mac 2025 bagi tempoh perjalanan antara 27 Jun dan 25 Oktober 2025. Tempah sekarang di airasia.com atau aplikasi AirAsia MOVE.

Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Darwin (DRW):

Waktu yang tertera adalah mengikut format 24 jam

*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja, termasuk  servis caj penumpang,  caj perkhidmatan, caj bahan api, dan caj-caj lain yang berkenaan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.