AirAsia Malaysia rai penerbangan bebas kelima pertama ke Fukuoka dari Kota Kinabalu
FUKUOKA, 15 Ogos 2025 - AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) meraikan penerbangan pertama dari Kota Kinabalu ke Fukuoka melalui Taipei hari ini. Penerbangan pertama dari Taipei ke Fukuoka mencatatkan faktor muatan 100 peratus, manakala penerbangan ke Taipei mencatat faktor muatan lebih 80 peratus, menandakan laluan pertama syarikat penerbangan itu ke pasaran Jepun.
Penerbangan AK1510 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 7:40 pagi pada 15 Ogos 2025 dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka pada jam 3:15 petang (waktu tempatan) pada hari yang sama. Para tetamu dalam penerbangan AK1510 bagi laluan Taipei-Fukuoka telah diraikan oleh Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia bersama kru penerbangan semasa hentian di Taipei.
Pelancaran laluan baharu bebas kelima ini menandakan satu pencapaian penting bagi AirAsia Malaysia, sekali gus memperkukuh komitmennya dalam meningkatkan kesalinghubungan negeri Sabah dan mempromosikan Kota Kinabalu sebagai hab utama serantau. Perkhidmatan baharu ini bukan sahaja membolehkan para pengembara dari Sabah menerokai destinasi di luar Asean, malah turut membuka peluang kepada para tetamu dari Taipei untuk mengenali keindahan Fukuoka, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi di seluruh rantau ini.
Encik Bruce Chen Ph.D, Konsul Jeneral Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Fukuoka berkata: “Saya ingin mengucapkan tahniah atas pelancaran laluan pertama AirAsia Malaysia ke Jepun, yang menghubungkan Fukuoka dan Kota Kinabalu melalui Taipei. Perkhidmatan baharu ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan perjalanan antara Jepun dan Taiwan melalui pertambahan kekerapan penerbangan bagi sektor Fukuoka–Taipei, malah turut menawarkan kesalinghubungan baik antara Asia Timur dan Asia Tenggara. Saya yakin inisiatif ini akan terus menggalakkan pelancongan, perniagaan dan pertukaran budaya di ketiga-tiga bandar dan rantau masing-masing. Saya amat berharap laluan ini akan menyumbang kepada peningkatan lawatan dan kerjasama antarabangsa antara ketiga-tiga buah negara. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua yang terlibat.”
Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami berbesar hati untuk melancarkan laluan bebas kelima pertama dari Taipei ke Fukuoka, yang menandakan satu pencapaian penting bagi AirAsia Malaysia dalam usaha kami mengembangkan kehadiran di Jepun. Laluan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen berterusan untuk membangunkan Kota Kinabalu sebagai hab strategik di Malaysia Timur, malah turut menawarkan fleksibiliti perjalanan lebih luas kepada para tetamu kami di seluruh rantau ini. Kami yakin bahawa sambungan baharu ini akan meningkatkan peluang pelancongan dan perniagaan antara Kota Kinabalu, Taipei dan Fukuoka, sambil menawarkan lebih nilai dan kemudahan kepada para tetamu dengan tambang berpatutan.”
Shinji Tagawa, Pengarah Wakil dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Fukuoka International Airport Co., Ltd. berkata: “Kami amat berbesar hati kerana AirAsia Malaysia telah memilih Fukuoka sebagai destinasi pertamanya ke Jepun. Kami sedang giat memperkukuh peranan sebagai hab antarabangsa melalui perluasan terminal dan penambahan landasan kedua. Laluan baharu ini bukan sahaja akan menawarkan pilihan perjalanan baharu kepada penumpang di ketiga-tiga bandar ini, malah kepada penduduk di Fukuoka dan seluruh Kyushu. Kami menjangka laluan ini akan menyumbang kepada hubungan lebih kukuh dalam bidang pelancongan, perniagaan, kebudayaan, pendidikan dan lain-lain.”
Puan Syaliza Abd. Aziz, Pengarah Tourism Malaysia di Jepun mengucapkan tahniah kepada AirAsia atas pengembangannya: “Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada AirAsia Malaysia atas pelancaran laluan baharu yang menghubungkan Fukuoka, Taipei dan Kota Kinabalu ini. Pengembangan ini menjadi jambatan bermakna dalam memperkukuh hubungan antara Jepun dan Malaysia, serta menawarkan lebih banyak peluang untuk pertukaran budaya dan pelancongan. Pelancaran ini juga hadir tepat pada masanya menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Kami amat menghargai usaha AirAsia dalam merealisasikan kesalinghubungan ini.”
AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) akan mengendalikan penerbangan harian bagi laluan bebas kelima baharu ini menggunakan pesawat lorong tunggal jenis Airbus A320 (termasuk A320neo) dengan kapasiti maksimum sebanyak 186 jumlah tempat duduk, termasuk 42 Hot Seats.
Para pengembara dari Kota Kinabalu kini boleh menikmati penerbangan ke Fukuoka dengan tambang bermula daripada RM679* termasuk semua sehala, manakala penerbangan dari Taipei ke Fukuoka bermula daripada TWD2,990* termasuk semua sehala. Manakala, penerbangan dari Fukuoka ke Kota Kinabalu bermula daripada JPY23,990* termasuk semua sehala dan tambang bagi Fukuoka ke Taipei ditawarkan bermula daripada JPY15,900* termasuk semua sehala. Tambang promosi ini boleh ditempah mulai esok 16 Ogos 2025 sehingga 18 Ogos 2025, untuk tempoh perjalanan antara 16 Ogos 2025 hingga 15 Disember 2025 di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.
*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja dan termasuk cukai lapangan terbang, yuran kawal selia, caj bahan api, cukai berkaitan dan yuran yang dikenakan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.