AirAsia Malaysia raih sijil Audit Keselamatan Operasi (IOSA) oleh IATA

SEPANG, 12 September 2018 - AirAsia Malaysia telah diiktiraf dengan pensijilan Audit Keselamatan Operasi (IOSA) sebagai pengendali berdaftar oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), setelah diaudit oleh IOSA.

AirAsia Malaysia adalah syarikat penerbangan ketiga dalam Kumpulan AirAsia yang menerima akreditasi oleh IOSA, selepas AirAsia X Malaysia pada tahun 2014 dan AirAsia Indonesia pada bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, “Akreditasi yang diterima oleh penanda aras keselamatan yang diiktiraf secara global ini menunjukkan komitmen kami untuk mengendalikan operasi yang selamat dan terjamin. Keselamatan adalah keutamaan kami, dan kami akan terus berusaha untuk memastikan kami mengekalkan integriti operasi di tahap tertinggi.”

Ketua Keselamatan Kumpulan AirAsia Kapten Ling Liong Tien berkata, “Kami mensasarkan syarikat penerbangan Asean lain di dalam Kumpulan AirAsia untuk turut menjalani proses audit oleh IOSA pada awal tahun depan, supaya para tetamu kami lebih yakin apabila mereka terbang dengan AirAsia.”

IOSA adalah pengiktirafan antarabangsa dan sistem penilaian khas untuk menilai pengurusan operasi serta sistem kawalan syarikat penerbangan. Ia juga merupakan penanda aras global bagi pengurusan keselamatan di dalam industri ini.

Proses audit tersebut yang dijalankan dua kali setahun melibatkan lapan bahagian fungsi dan operasi syarikat penerbangan: sistem organisasi dan pengurusan, operasi penerbangan, operasi kawalan dan penghataran melalui penerbangan, kejuruteraan dan penyelenggaraan pesawat, operasi kabin, operasi pengendalian darat, operasi kargo dan pengurusan keselamatan

Malaysia, News, EnglishM ASepang