AirAsia manfaatkan rangkaian domestik luasnya untuk memudahkan pergerakan Angkatan Tentera Malaysia menerusi perkhidmatan sewa khas bernilai RM99.5 juta


Keterangan Gambar: YBhg. Datuk Lokman Hakim Bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, dan Kapten Saravanan Subramaniam, Pengarah Operasi Penerbangan AirAsia Malaysia merasmikan perkhidmatan sewa khas disaksikan oleh YBhg. Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar, Panglima Angkatan Tentera; YB Dato' Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia; dan YB Adly Bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke-17 hari ini.
LANGKAWI, 22 Mei 2025 - AirAsia telah merasmikan perkhidmatan sewa khas termasuk penyewaan pesawat unutk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga 1 Ogos 2027.
Perkhidmatan ini membuktikan komitmen AirAsia dalam memanfaatkan rangkaian domestiknya yang luas serta kekerapan penerbangan yang tinggi bagi menawarkan penyelesaian pengangkutan efisien kepada ATM. Kontrak bernilai RM99.5 juta ini merangkumi perkhidmatan sewa khas harian serta penyewaan pesawat untuk laluan domestik di seluruh Malaysia.
AirAsia akan menyokong pergerakan anggota ATM menggunakan penerbangan komersial dari hari Isnin hingga Jumaat bagi tujuan tugasan dan kebajikan, selaras dengan jadual penerbangan komersial sedia ada untuk memastikan kelancaran perjalanan serta mengekalkan keselesaan penumpang. Selain itu, perkhidmatan sewa khas turut disediakan yang melibatkan penyewaan eksklusif seluruh pesawat sepenuhnya untuk anggota ATM tanpa penumpang komersial.
Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kami berbangga dapat memperkukuh hubungan dengan Angkatan Tentera Malaysia, yang merupakan salah satu rakan kongsi lama kami. Sebagai syarikat penerbangan dengan rangkaian domestik paling luas merangkumi 38 laluan serta kekerapan penerbangan tertinggi di Malaysia dengan lebih daripada 1,100 penerbangan mingguan, kami berada dalam kedudukan terbaik untuk menyokong keperluan mobiliti ATM. Sebagai syarikat penerbangan untuk semua, kerjasama ini memperkasa lagi komitmen kami untuk terus berkhidmat kepada negara dan menyokong inisiatif kerajaan.”
Selain daripada perjalanan udara, kontrak ini turut merangkumi perkhidmatan menyeluruh seperti penyediaan hidangan dalam penerbangan, pengendalian bagasi, dan sokongan logistik dari lapangan terbang ke kem tentera, serta sebaliknya, bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan anggota ATM sepanjang pergerakan mereka.