AirAsia menandatangani Memorandum Kerjasama syarikat di Vietnam
HANOI, 6 Disember 2018 - AirAsia telah menandatangani Memorandum Kerjasama yang mengukuhkan hasratnya untuk menubuhkan syarikat penerbangan tambang rendah di Vietnam dengan rakan kongsi tempatan.
Memorandum itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes dan ahli perniagaan Vietnam, Tran Trong Kien, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Saham Bersama Thien Minh Travel (TMG) dan Ketua Pengarah Syarikat Saham Bersama Hai Au Aviation (HAA), di Hotel InterContinental Hanoi Landmark72 di sini hari ini.
Majlis tersebut, yang diadakan di luar Sidang Kemuncak Pelancongan Vietnam 2018, telah disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Vietnam Vu Duc Dam dan Timbalan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam Le Quang Tung.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata, “AirAsia adalah sebuah syarikat penerbangan Asean, dan di rantau ini, Vietnam adalah salah sebuah negara dengan penduduk yang besar terakhir yang belum kami jejaki. Memorandum hari ini mengesahkan komitmen kami untuk menubuhkan AirAsia di Vietnam. Pada tahun lepas, ketika kami mengumumkan usaha sama ini, kami yakin dengan Vietnam dan kini kami tetap yakin untuk berkhidmat dengan salah satu negara yang mempunyai ekonomi yang paling dinamik dan paling pantas berkembang di Asia.
“AirAsia kini menjadi kumpulan syarikat penerbangan asing terbesar di Vietnam melalui kapasiti. Kami kini beroperasi ke lima destinasi di sini, termasuklah laluan terbaru kami, Phu Quoc. Kami akan terus memperluaskan rangkaian untuk menghubungkan Vietnam ke rantau Asean dan seterusnya, dan berharap usaha sama tempatan akan mempercepatkan langkah ini. Kami amat teruja untuk membawa lebih ramai pelawat ke negara ini dan menawarkan perjalanan udara dengan tambang rendah sebenar kepada 95 juta rakyat Vietnam pada masa akan datang.”
Ketua Pegawai Eksekutif TMG dan Ketua Pengarah HAA Tran Trong Kien berkata, “Sektor pelancongan Vietnam telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Jumlah kedatangan pelancong antarabangsa telah meningkat sebanyak dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun yang lalu serta perjalanan dalam dan luar negara juga telah berkembang dengan pesat. Sektor ini banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan kemajuan sosial terkini. Sebagai sebuah negara, Vietnam memerlukan rangkaian yang lebih baik untuk meneruskan trend ini dan mencapai potensi sepenuhnya. Tambahan syarikat penerbangan baharu, terutamanya pada peringkat ini dan dengan pengendali yang berpengalaman seperti AirAsia adalah langkah yang sangat diperlukan dan haruslah disambut baik. Syarikat penerbangan baharu ini akan menawarkan lebih banyak pilihan kepada rakyat kita di masa akan datang.”
AirAsia mengendalikan 141 penerbangan mingguan ke 13 laluan - termasuklah enam laluan unik - menghubungkan Hanoi, Bandar Ho Chi Minh, Da Nang, Nha Trang dan Phu Quoc dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bharu di Malaysia, Bangkok dan Chiang Mai di Thailand dan Manila di Filipina. AirAsia juga telah membawa seramai 12 juta orang penumpang ke dan dari Vietnam sejak memasuki pasaran tersebut pada tahun 2005.