AirAsia menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama terbang secara terus dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo
LABUAN BAJO, 3 September 2024 – AirAsia terus memperkembang rangkaiannya di rantau ini dengan menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang menawarkan penerbangan secara terus dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo, mewujudkan peluang baharu untuk sektor pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK), penerbangan pertama dari Kuala Lumpur telah mendarat di Labuan Bajo pagi ini, menandakan permulaan tiga penerbangan mingguan antara dua destinasi pelancongan ini. Pengembangan ini memperkukuh rangkaian AirAsia antara Malaysia dan Indonesia secara keseluruhan sebanyak 28 laluan terus.
Penambahan laluan ini selari dengan komitmen AirAsia untuk memperluas kesalinghubungan serantau dengan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan ke destinasi yang sedang berkembang seperti Labuan Bajo. Dengan lebih daripada empat ribu tempat duduk tersedia setiap minggu, laluan ini dijangka akan meningkatkan jumlah pelawat dan memberikan impak ekonomi yang besar kepada komuniti tempatan di Malaysia dan Indonesia.
Melalui perkhidmatan Fly-Thru AirAsia, para pelancong dari seluruh rantau ini juga boleh mengunjungi Labuan Bajo di mana terletaknya Taman Negara Komodo yang terkenal di seluruh dunia dan Pulau Flores yang indah melalui Kuala Lumpur, menjadikan perjalanan lebih mudah bagi pelancong antarabangsa dari Asia dan Australia.
Dato' Kapten Fareh Mazputra, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia berkata: "Kami berbesar hati unutk melancarkan penerbangan secara terus dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo hari ini, yang merupakan satu langkah penting dalam menyokong sasaran pelancongan kedua-dua negara. Labuan Bajo adalah salah satu daripada Lima Destinasi Pelancongan Utama Indonesia, di mana kerajaan memberikan fokus utama untuk menarik lebih ramai pelancong dengan harapan melebihi 500,000 pengunjung pada tahun 2024.
"Kami komited untuk menyumbang kepada perkembangan Labuan Bajo sebagai destinasi bertaraf dunia dengan menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelancong dari seluruh dunia. Kerjasama antara kerajaan, syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan lain adalah kunci untuk mencapai sasaran ini yang ditetapkan untuk Labuan Bajo dan memastikan statusnya sebagai hab pelancongan utama.
“Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran terpenting kami dan akan terus bekerjasama rapat dengan AirAsia Indonesia untuk meningkatkan sektor pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua negara ini. Dengan 28 laluan terus antara Malaysia dan Indonesia, kami telah membawa lebih daripada tujuh juta tetamu, seterusnya memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesalinghubungan serantau dan menyokong sektor pelancongan tempatan. Kami berharap untuk memperluas rangkaian kami dengan rancangan untuk meneroka lebih banyak laluan secara terus antara Malaysia dan Indonesia pada masa hadapan."
AirAsia Malaysia kini terbang ke 15 laluan di seluruh Indonesia, dari Kuala Lumpur ke Kertajati, Banda Aceh, Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Padang, Pekanbaru, Makassar, Yogyakarta, Surabaya, Balikpapan, Lombok; dari Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan serta dari Kota Kinabalu ke Manado.