AirAsia meterai perkongsian kod penerbangan bersama Pegasus, syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka Türkiye, serta menawarkan penerbangan harian ke Istanbul

Memperluas rangkaian: Kerjasama baharu ini membuka laluan kepada lebih 100 laluan tambahan dalam jangka pendek dan panjang

Memperkukuh hubungan Asia-Eropah: AirAsia meningkatkan kekerapan penerbangan ke Istanbul dengan tujuh kali seminggu

Dari Kuala Lumpur ke Eropah: AirAsia membuka akses ke Stansted (London), Vnukovo (Moscow), Esenboğa (Ankara), Zurich (Switzerland) dan Athens (Greece) menerusi Istanbul, dengan tambang istimewa bermula daripada RM799 sehala*

[Dari kiri] Amanda Woo, Ketua Pegawai Komersial, AirAsia Group; Tuan Yang Terutama Encik Nevzat Uyanik, Duta Besar Türkiye ke Malaysia; Elifnur Dogruoz, Ketua Perancangan Rangkaian & Kerjasama Syarikat Penerbangan Kumpulan, Pegasus Airlines; Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Group; dan Farouk Kamal, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Group

SEPANG, 2 September 2026 – AirAsia terus memperkukuh rangkaian penerbangan antarabangsanya dengan melancarkan kerjasama perkongsian kod (codeshare) buat julung kalinya bersama Pegasus Airlines, syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) terbesar di Türkiye, sekali gus membuka akses perjalanan yang lancar antara Asia Tenggara dan Eropah menerusi Istanbul.

Kerjasama ini menghubungkan dua syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) terkemuka dari Asean dan Eropah, menghubungkan rangkaian luas AirAsia merentasi Asean dan Asia dengan rangkaian destinasi Pegasus di seluruh Eropah menerusi hab utamanya di Istanbul Sabiha Gökçen. Kerjasama ini turut menjadi satu lagi pencapaian penting dalam aspirasi AirAsia untuk menjadi syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah pertama di dunia, sekali gus menjadikan perjalanan antarabangsa lebih mudah diakses dan mampu milik, serta terus memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk strategik yang menghubungkan Asia dengan dunia.

Membawa rangkaian AirAsia lebih jauh ke Eropah, kerjasama ini akan membuka akses secara berperingkat kepada lebih 100 laluan antara Asia dan Eropah menerusi gabungan rangkaian AirAsia dan Pegasus. Kerjasama ini bermula dengan lima destinasi Eropah iaitu  Stansted (London), Vnukovo (Moscow), Esenboğa (Ankara), Zurich (Switzerland) dan Athens (Greece) – yang menghubungkan tetamu dari Kuala Lumpur menerusi Istanbul, sekali gus menjadi asas kepada pengembangan rangkaian Eropah yang lebih luas pada masa hadapan.

Bagi terus memperkukuh hubungan antara Asia dan Eropah, AirAsia akan meningkatkan kekerapan penerbangan Kuala Lumpur-Istanbul (KUL-SAW) daripada empat kepada tujuh penerbangan seminggu menjelang Februari 2027. Peningkatan ini akan memberikan lebih fleksibiliti kepada para penumpang serta kemudahan sambungan perjalanan antara kedua-dua rantau. Laluan Kuala Lumpur-Istanbul yang dikendalikan oleh AirAsia X telah menghubungkan Asia Tenggara secara terus dengan Istanbul, sebagai pintu gerbang ke Eropah, sejak November 2025. Menerusi kerjasama perkongsian kod ini, para penumpang akan menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar dengan hanya satu tempahan, manakala bagasi akan didaftarkan terus ke destinasi akhir. Ini bermakna penumpang tidak perlu mendaftar masuk semula atau mengambil dan mendaftar semula bagasi mereka ketika transit di Istanbul. Sambungan rangkaian yang diperluaskan ini bukan sahaja menawarkan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada para penumpang yang melakukan perjalanan antara Asia dan Eropah, malah menawarkan lebih banyak peluang perjalanan apabila rangkaian penerbangan terus berkembang.

Sambungan rangkaian baharu ini turut memberi manfaat dalam kedua-dua arah. Para penumpang dari Eropah kini boleh melakukan perjalanan melalui Istanbul ke Kuala Lumpur, sebelum meneruskan perjalanan ke pelbagai destinasi di Asean, Asia dan Australia menerusi rangkaian Fly-Thru AirAsia yang luas. Rangkaian ini merangkumi destinasi popular di Indonesia, Filipina, Thailand, China, Vietnam dan banyak lagi. Dengan peningkatan kekerapan penerbangan ke Istanbul, AirAsia terus memperkukuh hubungan antara Eropah dan Asia, di samping memberikan para penumpang dari Eropah akses yang lebih mudah dan luas ke destinasi-destinasi popular di rantau ini menerusi rangkaian AirAsia. 

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, berkata: “Sebagai perkongsian kod penerbangan pertama AirAsia, kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam tahun ke-25 AirAsia, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perkembangan AirAsia daripada syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka Asean kepada rangkaian perjalanan global yang lebih menyeluruh. Dengan menghubungkan rangkaian AirAsia yang luas di seluruh Asia dengan rangkaian Eropah Pegasus yang kukuh melalui habnya di Istanbul, merangkumi 160 destinasi di 56 negara, kami bukan sahaja menjadikan Eropah lebih mudah diakses oleh para penumpang AirAsia, malah membuka peluang kepada pelancong Eropah untuk menerokai Asean dan destinasi-destinasi lain. Kerjasama ini memberikan lebih banyak pilihan, kemudahan sambungan serta peluang kepada para penumpang untuk menerokai dunia pada tambang berpatutan, di samping menjadi asas kepada hubungan yang lebih luas menerusi kerjasama strategik pada masa hadapan.”

Güliz Öztürk, Ketua Pegawai Eksekutif Pegasus Airlines, berkata: “Istanbul Sabiha Gökçen merupakan hab strategik yang menghubungkan Eropah dan Asia. Kami berbangga kerana perkongsian kod penerbangan pertama AirAsia adalah bersama Pegasus Airlines, yang membuktikan kekuatan rangkaian yang telah kami bina dari Istanbul sejak lebih dua dekad lalu, serta hab yang terus berkembang. Kini, para penumpang kami boleh melakukan perjalanan dengan lancar ke Kuala Lumpur dan seterusnya mengakses rangkaian AirAsia yang merangkumi lebih 140 destinasi di seluruh Asia Pasifik. Pada masa yang sama, para penumpang dari Asia Tenggara dan destinasi lain kini dapat menikmati akses ke Türkiye dan Eropah. Kami akan terus mengembangkan kerjasama ini bersama-sama, membangunkan ekosistem perjalanan yang lebih bersepadu merentasi kedua-dua rangkaian, serta membuka lebih banyak destinasi, perjalanan yang lebih mudah dan tambang berpatutan untuk para penumpang kami.”

Sempena pelancaran perkongsian bersama Pegasus ini, AirAsia menawarkan tambang promosi terhad bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke lima destinasi terpilih melalui Istanbul Sabiha Gökçen, dengan tambang bermula daripada RM799* termasuk semua sehala. Para penumpang juga boleh menikmati tambang bermula daripada USD199* semua sehala dari Esenboğa (Ankara), Vnukovo (Moscow), Athens (Greece) dan Zurich (Switzerland) ke Kuala Lumpur, manakala tambang dari Stansted (London) ke Kuala Lumpur ditawarkan dari hanya USD299* termasuk semua sehala. Tempahan boleh dibuat menerusi AirAsia MOVE dari 2 hingga 6 September 2026, bagi tempoh perjalanan mulai hari ini sehingga 27 Mac 2027.


*Termasuk caj perkhidmatan penumpang, caj perkhidmatan kawal selia, surcaj bahan api, yuran lain yang berkenaan serta elaun bagasi daftar masuk seberat 20KG. Penerbangan ini dikendalikan menerusi kerjasama perkongsian kod penerbangan bersama Pegasus Airlines. Tertakluk kepada terma dan syarat.

**AirAsia Group, yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia X Berhad.