AirAsia naik taraf A320neo kepada A321neo lebih besar
LE BOURGET, 18 Jun 2019 – AirAsia akan menaik taraf armada pesawat Airbusnya, dengan menukar 253 pesanan untuk A320neo kepada versi A321neo yang lebih besar.
Pertukaran itu akan membolehkan AirAsia menawarkan kapasiti yang lebih tinggi atas permintaan kukuh yang berterusan merentasi rangkaiannya. AirAsia kini menjadi pelanggan terbesar di dunia untuk pesawat jenis A321neo.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun berkata, "Kami telah mengambil beberapa tahun untuk mengkaji semula masa depan operasi kami dan hari ini, kami amat berbangga menjadi pelanggan terbesar di dunia untuk A321neo. Dengan pelbagai manfaat kecekapan dan fleksibiliti operasi yang ditawarkan oleh pesawat ini, A321neo akan menjadi tulang belakang baharu operasi kami untuk terus berkembang dan memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat di seluruh Asia."
Secara keseluruhannya, AirAsia telah membuat 592 pesanan untuk pesawat dalam kumpulan jenis A320. Berikutan naik taraf itu, AirAsia akan menjadi pelanggan terbesar di dunia untuk A321neo dengan 353 pesawat dipesan. AirAsia kini mempunyai 230 pesawat dalam kumpulan jenis A320 dalam perkhidmatan, yang beroperasi dari habnya di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.
A321neo merupakan pesawat jenis terbesar dalam kumpulan A320 dan mempunyai banyak inovasi termasuk enjin generasi terbaharu dan sayap peranti Sharklet yang seterusnya menghasilkan penjimatan bahan api sebanyak 15 peratus ketika penerimaan pesawat dan 20 peratus menjelang tahun 2020.