Nasihat Perjalanan: AirAsia naik taraf sistem tempahan dan proses untuk para tetamu
SEPANG, 11 November 2022 - AirAsia ingin memaklumkan bahawa ia akan menaik taraf sistem tempahan dan proses untuk para tetamu antara 23 November 2022, 09:00PM (GMT+8) dan 24 November 2022, 03:00AM (GMT+8). Peningkatan sistem ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan AirAsia untuk menyediakan pengalaman dalam talian yang lebih baik kepada semua.
AirAsia juga ingin memaklumkan bahawa para tetamu mungkin akan menghadapi gangguan perkhidmatan semasa proses naik taraf sistem ini. Ini termasuk sistem daftar masuk secara kendiri dalam talian melalui aplikasi airasia Super App dan laman web, tempahan penerbangan pada airasia Super App dan laman web, serta penebusan mata ganjaran melalui airasia rewards. Peningkatan sistem ini juga akan memberi kesan kepada operasi penerbangan, dan akan menjejaskan ketersediaan perkhidmatan daftar masuk dan daftar masuk bagasi di semua lapangan terbang di mana AirAsia beroperasi. Semua kakitangan berkaitan akan ditugaskan untuk membantu tetamu di lapangan terbang sekiranya proses naik taraf tersebut mengalami gangguan perkhidmatan atau mengambil masa lebih lama daripada yang dijadualkan.
Semua perkhidmatan lain di airasia Super App dan laman web seperti airasia ride, airasia food, hotel, dan airasia Travelmall tidak akan terjejas dan boleh diakses seperti biasa.
Para tetamu yang bakal membuat perjalanan semasa tempoh naik taraf ini akan dimaklumkan melalui e-mel dan SMS. Mereka juga disyorkan untuk mengemas kini butiran peribadi untuk memastikan mereka menerima maklumat terkini mengenai status penerbangan mereka.
AirAsia menggalakkan semua tetamu untuk mendaftar masuk secara kendiri dalam talian melalui airasia Super App dan laman web, yang tersedia dari 14 hari sebelum tarikh perlepasan untuk semua penerbangan. Para tetamu juga disarankan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu perlepasan untuk memastikan perjalanan lancar dan menggunakan pas masuk elektronik jika tersedia.
AirAsia ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan berikutan penambahbaikan sistem ini dan akan berusaha untuk meminimumkan sebarang gangguan untuk tetamu yang bakal melakukan perjalanan dalam tempoh tersebut.
Untuk maklumat terkini, sila ikuti media sosial kami di @flyairasia di Instagram atau @airasia di Twitter.
Untuk pertanyaan, sila hubungi Khidmat Sokongan Pelanggan kami melalui AVA untuk mendapatkan bantuan.
*** TAMAT ***