AirAsia pacu sektor perdagangan dan pelancongan di Batam, pintu masuk utama ke Kepulauan Riau

BATAM, 25 Februari 2026 – AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) akan memacu sektor perdagangan dan pelancongan di Wilayah Kepulauan Riau menerusi pelancaran penerbangannya secara harian dari Kuala Lumpur ke Batam yang akan bermula pada 13 Mac 2026.

Laluan baharu ini akan menawarkan kemudahan kepada para pengembara serta meningkatkan kesalinghubungan antara Kuala Lumpur dan Batam iaitu sebuah hab yang pesat membangun bagi sektor perniagaan dan pelancongan, sekali gus memperkukuh hubungan antara destinasi utama di Malaysia dan Indonesia.

Malaysia merupakan antara pasaran sumber terbesar bagi Batam, menyumbang lebih 25 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong asing bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025. Penerbangan secara harian baharu ini dijangka akan terus merangsang perjalanan rentas sempadan serta menyokong pertumbuhan yang berterusan bagi sektor pelancongan Batam dan Provinsi Kepulauan Riau secara keseluruhannya.

Pada tahun 2025, ketibaan penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim mencecah hampir 140,000 orang di mana ianya meningkat sebanyak 64 peratus berbanding tahun 2024. Dengan pelancaran laluan baharu ini, AirAsia menjangkakan peningkatan bagi trafik penumpang dengan anggaran lebih 22,000 pengembara akan berlepas dan tiba di Batam dalam tempoh tiga bulan pertama pengoperasian.

Perkhidmatan baharu ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi AirAsia dalam memperluaskan rangkaiannya kepada 19 laluan serta mengukuhkan kedudukannya sebagai penghubung utama antara Malaysia dan Indonesia. Pada tahun 2025, AirAsia telah menerbangkan hampir tiga juta para tetamu antara kedua-dua negara, sekali gus membuktikan komitmennya yang berterusan dalam mempertingkatkan kesalinghubungan serantau dan memperkukuh hubungan dua hala.

Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Pengurus Besar AirAsia Malaysia, berkata: “Kami berbesar hati dengan pelancaran laluan baharu yang bakal beroperasi secara harian dari Kuala Lumpur ke Batam, sekali gus memperkukuh lagi kesalinghubungan antara Malaysia dan Indonesia. Sebagai salah satu pasaran utama kami, Indonesia terus memainkan peranan penting dalam strategi pertumbuhan kami dan pengembangan ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong perdagangan serantau, pelancongan serta pembangunan ekonomi.”

“Batam bukan sahaja merupakan pintu masuk strategik bagi perniagaan dan pelaburan, malah destinasi yang istimewa dengan kepelbagaian budaya yang kaya serta pelbagai tarikan, daripada seni bina ikonik dan pantai yang indah hingga lokasi bersejarah dan pelbagai pengalaman menarik bagi seisi  keluarga. Malaysia merupakan pasaran sumber terbesar Batam, kami yakin laluan ini akan merangsang perjalanan dua hala yang lebih kukuh serta mewujudkan peluang yang lebih besar untuk kedua-dua komuniti. AirAsia kekal komited untuk menawarkan tambang mampu milik dan kesalinghubungan yang lancar bagi mendekatkan masyarakat serta ekonomi.”

Laluan ini akan bermula dengan penerbangan secara harian mulai 13 Mac 2026, dari Kuala Lumpur ke Batam dengan tambang promosi bermula daripada RM169 termasuk semua sehala* manakala dari Batam ke Kuala Lumpur bermula daripada IDR899,000 termasuk semua sehala*. Tambang promosi ini boleh ditempah mulai hari ini sehingga 8 Mac 2026 untuk tempoh perjalanan antara 13 Mac 2026 hingga 24 Oktober 2026, secara eksklusif melalui aplikasi AirAsia MOVE dan laman web airasia.com.

Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) and Batam (BTH):

*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala sahaja serta caj perkhidmatan penumpang, caj pengawalseliaan, surcaj bahan api serta yuran lain yang berkaitan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.