AirAsia perkenal hidangan dalam penerbangan (RED)

Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw dan Duta Cef (RED) Hong Thaimee melancarkan hidangan Burger INSP(RED) baharu bersama krew kabin

Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw dan Duta Cef (RED) Hong Thaimee melancarkan hidangan Burger INSP(RED) baharu bersama krew kabin

BANGKOK, 2 Julai 2019 – AirAsia dan Santan telah bekerjasama dengan (RED) untuk menghasilkan hidangan istimewa, Burger INSPI(RED)  yang boleh didapati di dalam semua penerbangan, dalam usaha menyokong perjuangan menamatkan AIDS.

Direka oleh Duta Cef (RED) yang berpangkalan di New York Hong Thaimee, burger berkenaan bakal membawa anda menikmati keenakan cita rasa Utara Thailand dalam menyampaikan pengalaman Timur-bertemu-Barat. Ia mengandungi patti ayam empuk dimasak sempurna bersama sos ikan, daun limau purut serta serai, dilengkapi dengan mayones cili hijau ‘Nam Prik Noom Mayo', kubis ungu dan hirisan tomato, diapit dengan ban brioche dengan rasa ubi bit.

Bagi setiap pembelian Burger INSPI(RED), 10% daripada jualan akan disumbangkan terus kepada Dana Global bagi menyokong ujian, kaunseling, rawatan dan program pencegahan HIV/AIDS di rantau Asean.

Duta Cef (RED) Hong Thaimee berkata, “Sebagai cef berasal dari Thai yang berpangkalan di New York, saya ingin menggabungkan keunikan kedua-dua cita rasa timur dan barat - perisa Thai dan burger klasik Amerika - mewujudkan sebuah hidangan yang mudah dinikmati oleh tetamu penerbangan. Sejak saya memulakan langkah dalam bidang kulinari, misi dan matlamat saya adalah untuk membawa citarasa Thailand kepada khalayak ramai, dan saya teruja kerana dapat memperkenalkan cita rasa istimewa kampung halaman Chiang Mai saya kepada 8 juta tetamu yang terbang bersama AirAsia setiap bulan.”

Ketua Pegawai Operasi (RED) Jennifer Lotito berkata, “Sebagai sokongan terhadap kempen NIKMATI (RED), SELAMATKAN NYAWA, kami berbangga melihat AirAsia bekerjasama dengan Chef Hong Thaimee untuk membawa (RED) ke udara dengan Burger INSPI(RED). Ia bukan sekadar hidangan lazat untuk penumpang; malah mewujudkan kesedaran dalam perjuangan AIDS dan membantu meningkatkan dana kritikal untuk membiayai program HIV/AIDS di Asean.”

Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw berkata, “Kami sangat teruja memperkenalkan hidangan Santan terbaharu kami, Burger INSPI(RED), ciptaan cef selebriti dan Duta (RED) Hong Thaimee untuk tetamu kami. Walaupun lewat memulakan kerjaya masakannya, Cef Hong bekerja keras dan mempunyai azam untuk menempa nama untuk dirinya sendiri, sama seperti AirAsia. Dengan mempunyai pemikiran ‘Dare to Dream’ dan warisan yang bersama, berkerjasama dengan Cef Hong ini adalah seperti gabungan dua personaliti Asean yang saling menyokong antara satu sama lain di rantau ini.”

Para tetamu digalakkan untuk membuat pra-tempahan Burger INSPI(RED) yang didatangkan dengan minuman percuma pada harga promosi hanya RM10 di semua penerbangan AirAsia ke semua destinasi.*

Pra-tempahan hidangan Santan boleh dibuat melalui pautan ‘Tempahan Saya’ di airasia.com untuk menikmati lebih penjimatan, pelbagai pilihan hidangan, dan keutamaan hidangan dalam pesawat.

AirAsia juga telah mewujudkan barangan edisi khas jenama bersama (AirAsia)RED dalam menyebarkan mesej (RED), termasuk topi ikonik AirAsia, model pesawat untuk penggemar hobi dan lain-lain, dengan AS$2.00 daripada setiap penjualan barangan akan disumbangkan kepada Dana Global.

*Pra-tempahan Burger (INSPI)RED tersedia untuk semua kod penerbangan kecuali penerbangan AirAsia India (kod penerbangan I5) dan AirAsia Japan (kod penerbangan DJ). Harga tertakluk kepada nilai pertukaran mata wang asing harian.

*** TAMAT ***

Mengenai Chef Hong Thaimee

Berasal dari Chiangmai, Thailand, Cef Hong Thaimee merupakan salah satu personaliti masakan Thailand di Amerika Syarikat dan telah membawa cita rasa asli Thai ke New York selama hampir sedekad. Sebagai seorang cef wanita/pemilik restoran terkemuka, beliau juga seorang aktivis kemanusiaan, penceramah inspirasi dan duta global untuk budaya masakan Thailand.

Chef Hong mengorbankan kerjayanya sebagai model dan eksekutif perniagaan yang berjaya di Bangkok untuk memulakan hidup baharu di New York. Hanya dengan ijazah sarjana dalam perniagaan, dan tanpa pengalaman meluas di dapur, beliau berjaya mendapat pekerjaan sebagai tukang masak di Jean-Georges’ Spice Market and restoran Perry Street di mana beliau menguasai teknik masakan klasik selama lima tahun. Beliau meninggalkan Jen-Georges pada 2012 untuk membuka Ngam di East Village dan memberi tumpuan kepada cita rasa Thai yang menjadi kegemarannya sejak kecil lagi. Tidak lama kemudian, restoran tersebut disenaraikan sebagai antara Makanan Thai Terbaik di NYC oleh The Village Voice pada 2013.

Dengan restorannya sendiri sebagai permulaan, Cef Hong membuka perniagaan katering dan pendidikan, semuanya didorong oleh keinginan dan nilai-nilainya; untuk mencintai dan melayan tetamu serta menyebarkan berita tentang masakan asli Thai. “True Thai”, buku masakannya pada 2015 bersama Rizzoli (amzn.to/2ILIRHU), mempamerkan keperibadian, bakat dan semangat Hong untuk cita rasa unik Thailand.

Mengenai (RED)

(RED) ditubuhkan pada tahun 2006 untuk bersama-sama melibatkan perniagaan dan orang ramai dalam memerangi AIDS. (RED) bekerjasama dengan jenama paling ikonik di dunia yang menyumbang hasil daripada barangan khas dan perkhidmatan berjemama-(RED) kepada Dana Global. Rakan kerjasama (RED) termasuk: Amazon, Apple, AirAsia, Bank of America, Beats by Dr Dre, Belvedere, Claro, Durex, MCM, Salesforce, SAP, Starbucks dan Telcel. Rakan kongsi Edisi Khas (RED) termasuk: Alessi, Andaz, Calm, eos, Fatboy USA, Girl Skateboards, Montblanc, Mophie, quip, Vespa, Vilebrequin dan Wanderlust.

Sehingga kini, (RED) telah menghasilkan lebih daripada $600 juta bagi Dana Global untuk memerangi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria, dalam menyokong geran HIV/AIDS di Ghana, Kenya, Lesotho, Rwanda, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania dan Zambia. 100 peratus daripada wang itu disalurkan untuk kerja-kerja asas - tanpa pengambilan sebarang kos overhed. Geran Dana Global disokong (RED) telah memberi kesan kepada 140 juta orang dengan pencegahan, rawatan, kaunseling, ujian HIV dan perkhidmatan penjagaan.