AirAsia perkenal kemaskini pakaian seragam kru kabin di KL Fashion Week dengan sentuhan serantau
KUALA LUMPUR, 6 OGOS 2025 - AirAsia memperkenal pakaian seragam kru kabin yang telah dikemaskini menggunakan bahan kitar semula untuk memberikan keselesaan, kesesuaian serta berfungsi lebih baik, sambil menampilkan sentuhan daripada bakat Malaysia dan Indonesia di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 hari ini. Di acara yang sama, AirAsia X turut memperkenalkan pakaian seragam yang ditambah baik untuk laluan terpilih seperti Jeddah dan Madinah.
Pakaian seragam ini diperbuat daripada gabungan fabrik yang dibaik pulih termasuk sehingga 40 peratus bahan tekstil kitar semula. Ia menawarkan kain lebih lembut, fleksibiliti lebih baik, dan memudahkan pergerakan untuk tempoh bekerja yang panjang di dalam setiap penerbangan. Selain daripada ringan dan mudah dijaga, pakaian seragam ini direka untuk menyokong kru kabin dalam menjalankan tugas mereka dengan lebih selesa dan penuh keyakinan.
Selain itu, beg tangan yang direka oleh seorang bakat Malaysia turut diperkenalkan, menambahkan sentuhan kreativiti tempatan dalam penampilan mereka.
Suhaila Hassan, Ketua Kumpulan Kru Kabin AirAsia Group berkata: “Perubahan ini bukan hanya pada fabrik semata-mata tetapi juga cara kami menyokong keperluan kakitangan kami. Kru kabin banyak meluangkan masa dalam pakaian seragam mereka, dan keutamaan kami adalah memastikan ianya berfungsi dengan lebih baik dan mencerminkan prinsip kami. Pemilihan bahan kitar semula dan kerjasama dengan rakan kongsi yang mementingkan prinsip alam sekitar dan sosial menunjukkan bahawa kami terus mencapai kemajuan dalam pelbagai cara.
“Kakitangan kami adalah jantung syarikat penerbangan ini. Justeru, pakaian seragam yang ditambah baik ini direka untuk mementingkan keselesaan, pengudaraan dan pergerakan. Pada masa yang sama, ia melambangkan sesuatu yang lebih besar: komitmen kami yang semakin kukuh terhadap perniagaan yang bertanggungjawab dan memperkasakan komuniti kami. Hasilnya ialah pakaian seragam yang mencerminkan tujuan dan kebanggaan."
Tahun ini menandakan kerjasama satu dekad antara AirAsia dan KLFW, satu pencapaian yang mencerminkan sokongan berterusan syarikat penerbangan ini terhadap bakat dan inovasi serantau Asean. Acara ini dimulakan dengan persembahan daripada kumpulan pop Malaysia, DOLLA yang merupakan wajah kempen Asean AirAsia. Ia diikuti dengan peragaan yang meraikan kepelbagaian kru kabin AirAsia dari seluruh rantau ini. Sebagai sebahagian daripada segmen Design to Sustain, AirAsia juga berbangga menyokong pereka tempatan, memperkukuh peranannya bukan sekadar sebagai sebuah syarikat penerbangan, tetapi juga sebagai platform yang menjulang kreativiti, budaya dan kolaborasi di rantau ini.
*** TAMAT***