AirAsia perkukuh hab selatan dengan laluan baharu Johor Bahru-Kunming

Menerajui pertumbuhan serantau Malaysia melalui kesalinghubungan antarabangsa di luar Kuala Lumpur

JOHOR BAHRU, 11 November 2025 – AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) hari ini mengumumkan pelancaran laluan terus yang baharu yang menghubungkan Johor Bahru dan Kunming, China, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan syarikat penerbangan itu untuk memperluas dan memperkukuh hab domestiknya di luar Kuala Lumpur.

Sebagai satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) di Malaysia yang mengendalikan penerbangan komersial bagi laluan Johor Bahru-Kunming, AirAsia terus memperkukuhkan kesalinghubungan udara mampu milik antara Malaysia dan China, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka yang menjalin hubungan antara kedua-dua negara. Perkhidmatan baharu ini membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelancongan dan pertukaran budaya antara Johor dan wilayah Yunnan, menyokong agenda lebih luas syarikat penerbangan itu untuk pertumbuhan serantau.

Bermula pada 14 Disember 2025, AirAsia Malaysia akan mengendalikan tiga penerbangan setiap minggu antara Johor Bahru dan Kunming, yang juga dikenali sebagai ‘Bandar Musim Bunga’ kerana iklimnya yang sempurna sepanjang tahun. Dengan 14 penerbangan mingguan syarikat penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Kunming, perkhidmatan baharu ini mengukuhkan kehadiran AirAsia di pasaran China dan memudahkan perjalanan terus dari Johor serta Singapura ke Kunming. Laluan baharu ini menekankan fokus strategik syarikat penerbangan itu untuk menjadikan Johor Bahru sebagai hab utama di bahagian selatan, melengkapkan hab utamanya di Kuala Lumpur dan meningkatkan kesalinghubungan dari pintu masuk lain yang sedang berkembang di seluruh Malaysia.

Dato’ Captain Fareh Mazputra, CEO AirAsia Malaysia berkata: “Kami bukan sahaja memperluas rangkaian penerbangan, malah sedang mentakrif semula kesalinghubungan Malaysia dalam rantau ini ke seluruh dunia. Pelancaran laluan baharu Johor Bahru-Kunming ini menandakan komitmen kami untuk berkembang melebihi Kuala Lumpur dan memperkukuh hab serantau utama di seluruh negara. Dengan menghubungkan Johor Bahru terus ke Kunming, kami membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelancongan dan pertukaran budaya, menjadikan kesalinghubungan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi di kedua-dua hujung. Dengan inisiatif bebas visa secara bersama antara Malaysia dan China, kini lebih mudah untuk ramai orang meneroka, menikmati dan menjalin hubungan merentas sempadan. Ini adalah komitmen AirAsia yang diterjemahkan dengan menjadikan kesalinghubungan global kini boleh diakses, mampu milik dan inklusif untuk semua.”

Pelancong dari Johor Bahru kini boleh menikmati kekayaan budaya, landskap indah dan iklim sederhana Kunming dengan lebih mudah, manakala pengunjung dari China mendapat akses yang mudah ke Malaysia di bahagian Selatan, yang menempatkan bandar-bandar yang meriah, tarikan semula jadi dan pengalaman riadah merentas sempadan. Perkhidmatan Johor Bahru-Kunming ini menandakan satu langkah maju lagi dalam misi AirAsia untuk memperluas rangkaian penerbangan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau.

Bagi meraikan pelancaran laluan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang promosi istimewa untuk penerbangan dari Johor Bahru ke Kunming bermula daripada RM469* termasuk semua sehala, manakala penerbangan dari Kunming ke Johor Bahru juga ditawarkan bermula daripada CNY678* sehala termasuk semua.

Semua penerbangan boleh kini ditempah melalui aplikasi AirAsia MOVE dan airasia.com, mulai hari ini sehingga 23 November 2025, untuk tempoh perjalanan dari 14 Disember 2025 hingga 28 Mac 2026.

Jadual Penerbangan antara Johor Bahru (JHB) dan Kunming (KMG):

Dikenali sebagai ‘Bandar Musim Bunga’, Kunming kini bersedia menyambut pelancong dari Johor Bahru dengan iklim yang baik sepanjang tahun, landskap semula jadi yang menakjubkan dan budaya tempatan yang meriah, menjadikannya pintu masuk untuk meneroka keindahan wilayah Yunnan di barat daya China. Pelancong dari Kunming kini boleh menikmati pengalaman dengan meneroka tarikan di Johor Bahru yang mempunyai warisan kaya serta  beberapa destinasi riadah paling menarik di Malaysia Selatan. Sambungan baharu ini membuka peluang menarik untuk pelancongan dua hala dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

Bermula pada 14 Disember 2025, Kumpulan AirAsia akan mengendalikan penerbangan ke 13 destinasi di tanah besar China dari Malaysia, dengan jumlah 21 laluan di seluruh rantau ini.

*Tambang termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala dan merangkumi caj perkhidmatan penumpang, caj pengawalseliaan, surcaj bahan api dan yuran lain yang berkaitan. Tertakluk kepada terma dan syarat lain.