AirAsia perkukuh kesalinghubungan serantau dengan penerbangan pertama ke Banjarmasin
BANJARMASIN, 20 Oktober 2025 – AirAsia Malaysia (AK) hari ini meraikan penerbangan pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Banjarmasin (BDJ), menandakan perkhidmatan antarabangsal pertama antara Malaysia dan Kalimantan Selatan.
Sebagai salah satu syarikat penerbangan asing yang mempunyai rangkaian paling luas di Indonesia, dengan AirAsia kini beroperasi ke 18 destinasi dan terus berkembang di seluruh negara, laluan ini dijangka dapat mengukuhkan hubungan antara orang ramai, memacu sektor pelancongan dan perdagangan, serta menawarkan keunikan sungai Banjarmasin dan potensinya yang semakin meningkat sebagai destinasi mesra halal yang wajib dikunjungi.
Penerbangan pertama ini amat bermakna selepas AirAsia menerima pengiktirafan di World Travel Awards Asia and Oceania 2025, susulan kejayaan Kuala Lumpur dinobatkan sebagai hab syarikat penerbangan tambang rendah terunggul dunia oleh OAG. Laluan baharu ini juga akan memperluaskan pilihan perjalanan untuk para tetamu AirAsia dari Banjarmasin melalui perkhidmatan Fly-Thru yang meliputi lebih daripada 130 destinasi di seluruh dunia.
Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata:“Indonesia sentiasa menjadi pasaran penting bagi kami dan langkah untuk menawarkan sambungan terus antara Kuala Lumpur dan Banjarmasin ini mengukuhkan lagi matlamat kami untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau serta menyokong komuniti dinamik di Kalimantan Selatan. Ini merupakan satu lagi langkah dalam usaha kami menawarkan pengalaman perjalanan mampu milik yang menghubungkan orang ramai dan peluang di seluruh rantau ini. Kami teruja untuk menjadikan Kuala Lumpur lebih mudah diakses oleh komuniti Banjar, serta mengalu-alukan lebih ramai pelancong dari seluruh dunia untuk menerokai keunikan pengalaman pelancongan yang ditawarkan oleh Banjarmasin.”
H. Muhidin, Gabenor Kalimantan Selatan, berkata:“Perasmian penerbangan antarabangsa terus pertama AirAsia ke Banjarmasin ini amat bermakna bagi Kalimantan Selatan. Laluan baharu ini bukan sahaja akan merancakkan ekonomi tempatan dan sektor pelancongan tetapi juga memperkukuh hubungan budaya dan perdagangan di rantau ini. Kami mengalu-alukan kehadiran AirAsia dengan penuh penghargaan dan menantikan pelbagai peluang yang dibawa oleh laluan ini untuk rakyat kami, sekaligus mempromosikan Kalimantan Selatan sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dan pelancongan halal.
Pada Oktober 2024, Kalimantan Selatan merekodkan hampir 100,000 kedatangan pelancong domestik, membuktikan pertumbuhan pesat dalam pasaran pelancongan wilayah tersebut. Dikenali sebagai Kota Seribu Sungai, Banjarmasin merupakan sebuah kota yang kaya dengan keindahan budaya dan komuniti yang terbentuk daripada jaringan sungai yang menghubungkan penduduknya. Selain itu, warisan kaya masyarakat Banjar serta dikelilingi keindahan semula jadi Kalimantan Selatan, ia adalah destinasi di mana tradisi terus berkembang.
Dengan pelancaran laluan antarabangsa terus ke Kuala Lumpur, jumlah ini dijangka meningkat dengan pesat pada tahun 2025, sekaligus merancakkan lagi pelancongan masuk dan keluar. Selain menawarkan laluan terus yang mudah dan mampu milik ke ibu negara Malaysia, laluan baharu ini juga menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan yang lancar dan berpatutan untuk menerokai destinasi menarik lain di Malaysia. Langkah ini turut menyokong usaha menuju kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan datang, serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi serantau melalui peluang pelancongan dan perdagangan mesra halal.
Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Banjarmasin (BDJ):