AirAsia perkukuh komitmen transformasi pesawat kepada A321neo
SEPANG, 6 Oktober 2021 - AirAsia Group (“Group”) mengukuhkan komitmennya untuk menukar jenis pesawat utama yang dikendalikannya iaitu A320 kepada A321neo yang mempunyai kapasiti yang lebih besar dan menawarkan lebih penjimatan bahan api, setelah menandatangani perjanjian pindaan dengan Airbus S.A.S (“Airbus”) di mana AirAsia akan menukar baki tempahan pesawatnya kepada A321neo.
Perjanjian tersebut menandakan komitmen AirAsia untuk menempah model terbesar dalam kategori pesawat A320. Pesawat A321neo yang mempunyai sehingga 236 tempat duduk dengan lorong tunggal, membolehkan AirAsia meningkatkan kapasiti dan memanfaatkan kos operasi terendah dalam kategori lorong tunggal. Dilengkapi dengan Space-Flex Cabin Airbus yang menjadikan konfigurasi kabin lebih efisien, pesawat A321neo turut memberikan keselesaan yang optimum kepada para tetamu.
Penukaran 13 baki tempahan pesawat A320 kepada A321neo menjadikan jumlah tempahan pesawat A321neo AirAsia kepada 362 pesawat. Pesawat-pesawat ini akan diperuntukkan kepada syarikat-syarikat penerbangan di bawah AirAsia Group berdasarkan permintaan hingga tahun 2035, seperti yang dipersetujui antara AirAsia dan Airbus. AirAsia menerima pesawat pertama A321neo pada November 2019 dan buat masa ini mengendalikan sejumlah empat pesawat jenis A321neo. Kini, AirAsia Group mempunyai sejumlah 211 pesawat yang terdiri daripada 169 pesawat A320, 38 pesawat A320neo dan 4 pesawat A321neo.
Bo Lingam, Presiden (Penerbangan) AirAsia Group berkata: “Kami telah mengkaji strategi rangkaian dan jenis pesawat secara menyeluruh untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan di laluan paling popular dan menguntungkan dalam persiapan untuk memulakan kembali penerbangan di seluruh rangkaian kami. Model perniagaan kami tetap teguh dan permintaan perjalanan kini semakin meningkat. Jadi, kami yakin bahawa syarikat penerbangan kami akan pulih sebaik sahaja sekatan perjalanan dibuka.
“Ini adalah hasil perbincangan dan kerjasama rapat kami dengan Airbus. Transformasi pesawat kami kepada A321 sepenuhnya akan memperkukuhkan lagi struktur kos rendah bagi operasi kami. Pesawat Airbus A321neo adalah peneraju dalam kategorinya dan ia akan membolehkan AirAsia memenuhi permintaan di seluruh rangkaian kami dengan kecekapan operasi yang lebih tinggi dan penjimatan bahan bakar lebih daripada 10%. Pesawat A321neo juga mempunyai 50 tempat duduk tambahan dan ruang kargo yang lebih besar, yang akan membolehkan kami mengurangkan lagi kos untuk tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) di seluruh kumpulan, seterusnya menjadikan tambang udara lebih rendah untuk para tetamu kami.”
Pesawat A321neo akan menggantikan semua pesawat A320 AirAsia pada masa hadapan, yang akan memberikan manfaat kelestarian yang ketara melalui penjimatan bahan bakar dengan pengurangan kira-kira 5,000 tan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) bagi setiap pesawat pada setiap tahun, selain mengurangkan pelepasan gas nitrogen oksida (NOx) sehingga dua digit dan bunyi enjin yang lebih senyap.
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group berkata, “Berikutan pembukaan sekatan perjalanan secara beransur-ansur dan permulaan perkhidmatan pengangkutan dan kargo dalam semua pasaran utama kami, kami perlu memastikan bahawa pesawat yang dikendalikan menjimatkan kos dan bahan api serta dioptimumkan bukan sahaja untuk operasi syarikat penerbangan malah untuk syarikat logistik kami iaitu Teleport. Permintaan perkhidmatan Teleport kini semakin meningkat seiring dengan permintaan luar biasa untuk perkhidmatan pengangkutan udara dan kargo, dan prestasinya telah kembali kepada sebelum pandemik dan berkembang lebih cepat daripada sebelumnya. Kami bersedia untuk mengembangkan perkhidmatan penghantaran dan kargo digital Teleport ke seluruh rantau ini sebaik sahaja sekatan perjalanan dan sempadan antarabangsa dibuka semula.
“Dalam tempoh sekatan perjalanan, kami telah mengubah AirAsia sebagai salah satu jenama syarikat penerbangan terkemuka di Asia menjadi aplikasi perjalanan dan gaya hidup sehenti yang menawarkan lebih daripada tawaran perjalanan udara. Dengan jumlah penumpang yang besar, peningkatan permintaan perjalanan akan merangsang perkhidmatan airasia Super App dan perkhidmatan pembayaran digital kami iaitu BigPay. Kami bersedia untuk kembali lebih kuat dalam dunia pasca-Covid.”
“Perkhidmatan Super App, Teleport dan BigPay juga penting untuk melengkapkan ekosistem kami kerana semua perkhidmatan ini bergantung pada satu sama lain untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam ruang e-dagang dan pengedaran. Daripada perkhidmatan wang elektronik dan kiriman wang antarabangsa kepada insurans mikro dan belanjawan, BigPay telah berjaya menyediakan pelbagai produk kewangan terkawal dan menjadi platform sehenti bagi keperluan kewangan pelanggan kami.
“Kami akan terus berinovasi dan mengikut keperluan masa kini. Kami telah melihat peningkatan dari segi permintaan pelanggan, pendapatan serta pengukuran perniagaan lain dan kami bersedia untuk kembali lebih kuat dalam dunia pasca-Covid.”
Christian Scherer, Ketua Pegawai Komersial Airbus dan Ketua Airbus International berkata: “Kami berbesar hati kerana telah mencapai perjanjian ini dengan AirAsia, rakan kongsi yang telah lama bekerjasama dengan kami. Ini merupakan satu lagi sokongan terhadap A321neo sebagai pesawat lorong tunggal paling cekap dan popular di dunia. Ini juga merupakan contoh bagaimana Airbus bekerjasama dengan pelanggan kami untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai dengan kesan pandemik ini. Kami turut berbesar hati untuk melihat peningkatan lalu lintas udara di seluruh dunia berikutan sekatan perjalanan yang telah mula dibuka. AirAsia akan terus maju berikutan pemulihan ini yang sudah tentunya akan tiba di Asia, yang didorong oleh permintaan perjalanan, kecekapan pesawat Airbus dan jenama uniknya.”