AirAsia perkukuh sektor pelancongan Asean dengan lebih 3,200 penerbangan mingguan sehingga hujung tahun 2024 dan sedia terbangkan 75 juta tetamu pada tahun ini
Syarikat penerbangan ini juga mengumumkan laluan baharu dalam rangkaian Asean dari Kuala Lumpur ke Da Lat, Vietnam
SEPANG, 8 Ogos 2024 - AirAsia, syarikat penerbangan Asean, mengumumkan peningkatan kekerapan penerbangan domestik dan antarabangsa sejumlah 3,281 penerbangan mingguan sebagai Kumpulan* merentasi 10 negara ASEAN, seterusnya memperkukuh sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini. Pengumuman ini dibuat sempena sambutan Hari Asean ke-57 yang diadakan pada hari ini di AirAsia RedQ dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Malaysia (MOFA).
Syarikat penerbangan ini juga mengumumkan penyambungan semula laluan dari Kuala Lumpur ke Da Lat, Vietnam dengan empat penerbangan mingguan bermula 1 November 2024. Penyambungan semula laluan ini ke salah satu destinasi paling menarik di Vietnam, yang terkenal dengan iklim sejuk, pemandangan indah dan warisan budaya adalah sebahagian daripada usaha strategik AirAsia untuk memperluas rangkaiannya dan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan berpatutan di seluruh ASEAN.
Peningkatan kekerapan penerbangan dan penyambungan semula laluan ini dijangka akan memacu sektor pelancongan dengan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan dan fleksibiliti kepada para tetamu, sekaligus meningkatkan perbelanjaan dan menawarkan peluang pekerjaan dalam negara. Sejajar dengan usaha ini, AirAsia MOVE hari ini menandatangani kerjasama dengan Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA), yang diwakili oleh presidennya iaitu Eddy Krismeidi Soemawilaga, bagi memperkukuh sokongan ASEANTA dan Organisasi Pelancongan Nasional ASEAN terhadap ASEAN Explorer Pass, produk langganan perjalanan utama AirAsia MOVE.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata: "Pada tahun 2023, AirAsia telah menerbangkan lebih daripada 61 juta tetamu dengan lebih daripada 33 peratus merentasi Asean. Syarikat penerbangan ini juga telah mentransformasi rantau Asean sepanjang penubuhannya dengan mendemokrasikan perjalanan udara bagi jutaan tetamu dengan memperkenalkan laluan popular dan destinasi menarik di rantau ini di mana kira-kira 60 peratus destinasi merupakan destinasi baharu dan unik.
"Operasi kami yang semakin berkembang kukuh dengan hab di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Kemboja membuktikan keyakinan kami terhadap keupayaan dan potensi kekuatan Asean sebagai pusat pertumbuhan ekonomi. Kami juga akan terus menyokong visi Komuniti Ekonomi ASEAN bagi mewujudkan satu pasaran dan pusat pengeluaran tunggal untuk mengurangkan kos melalui piawaian bersama dalam sistem kawalan trafik udara, sistem kejuruteraan, Dasar Langit Terbuka dan pemilikan syarikat bersama.
"Sebagai syarikat penerbangan yang menghubungkan dunia ke Asean dan Asean ke dunia, kami akan terus memperkukuh kehadiran kami di rantau dinamik ini yang mempunyai lebih 700 juta orang. Kami berharap untuk terus memanfaatkan rangkaian luas kami dengan peningkatan kekerapan dan keupayaan operasi kukuh di seluruh rantau ini bagi memupuk integrasi dan kerjasama lebih erat antara negara-negara terlibat, seterusnya memperkasa kesalinghubungan serantau. Kami bersedia untuk menyambut 75 juta tetamu pada tahun ini dan menjangka separuh daripadanya adalah dari rantau Asean.”
Bagi meraikan sambutan Hari ASEAN pada tahun ini, AirAsia menawarkan tambang istimewa bermula daripada RM49 termasuk semua* sehala ke Alor Setar, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Singapura, Bandar Seri Begawan, Padang, Labuan Bajo, Pattaya, Vientiane, Sihanoukville, Da Nang dan destinasi menarik yang lain. Tambang promosi ini boleh ditempah melalui aplikasi di aplikasi AirAsia MOVE (dahulu dikenali sebagai airasia Superapp) dan airasia.com mulai hari ini hingga 11 Ogos 2024 untuk tempoh perjalanan antara 1 Oktober 2024 dan 31 Mac 2025.
Dilancarkan pada tahun ini, ASEAN Explorer Pass ialah pas perjalanan tahunan yang membolehkan pelanggan menerokai seluruh rantau Asean melalui rangkaian penerbangan antarabangsa dan domestik** AirAsia, menikmati diskaun hotel serta perkhidmatan AirAsia Ride selama setahun dari tarikh langganan.
*Tambang promosi termasuk semua adalah untuk perjalanan sehala. Termasuk cukai lapangan terbang, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan caj-caj lain yang berkenaan. Bergantung kepada kelulusan kerajaan. Tertakluk pada terma dan syarat lain.
**Laluan domestik di negara-negara Asean di luar negara selain negara sendiri (berdasarkan kewarganegaraan pada pasport).